Categories
SELANGOR

Exco: Perkukuh mahkamah sedia ada sebelum tubuh mahkamah khas alam sekitar

Oleh: HAFIZAN TAIB

RAWANG, 18 JAN: Exco Elizabeth Wong menyambut baik cadangan mewujudkan Mahkamah Khas Alam Sekitar namun beranggapan mahkamah sedia ada perlu diperlukuhkan terlebih dahulu.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, pengukuhan mahkamah sedia ada penting bagi melancarkan proses mencari keadilan secara keseluruhan.

“Kalau ini boleh berlaku, ia memang keputusan yang baik cuma dalam mahkamah ini, banyak kes berkaitan alam sekitar belum bergerak selancar yang kita harapkan.

“Saya bagi pihak Kerajaan Selangor berasa lebih baik kita perkukuhkan lagi mahkamah sedia ada dengan penambahan hakim dan petugas serta sumber lain sebelum mewujudkan mahkamah khas alam sekitar itu,” katanya kepada SelangorKini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan penubuhan Mahkamah Khas Alam Sekitar kelak yang memberi peluang pihak yang terjejas berpeluang memfailkan saman berhubung isu alam sekitar.

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Hubungan Antarabangsa Mahkamah Persekutuan, Mohd Aizuddin Zolkeply berkata saman yang didengar di Mahkamah Sivil yang tidak khusus kepada alam sekitar.

“Contohnya berhubung isu pembalakan haram atau Lynas (nadir bumi). Mereka yang tidak berpuas hati kerana kawasan tanah mereka diganggu atau dengan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), mereka boleh menfailkan saman di Mahkamah Khas Alam Sekitar,” katanya.

Beliau berkata dengan adanya mahkamah khas itu, mereka yang menfailkan saman boleh menuntut ganti rugi ke atas kerugian yang mereka alami atau injuksi bagi menghalang sesuatu projek diteruskan.

Bagaimanapun penubuhan mahkamah itu masih dalam pertimbangan, katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.