Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri rangka pelan strategik atasi banjir di Kajang

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 6 JAN: Hujan lebat berterusan, kapasiti sungai tidak mencukupi, sekatan dan rintangan sampah sarap serta pembangunan tanah di bahagian hulu dikenal pasti sebagai punca kejadian banjir kilat yang berulang di Kajang.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Indsutri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, pihaknya sudah mengambil beberapa pendekatan dan usaha pencegahan bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa depan.

“Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS) sudah melaksanakan pembaikan tebing Sungai Jeluh di Taman Sri Jelok dengan kos RM20,000, penyelenggaraan tebing dan pembaikian flap gates (RM40,000) dan pembinaan Flood Wall sepanjang 54 meter (RM50,000).

kajang banjir“Selain itu, JPS turut melaksanakan pembaikan selekoh S bernilai RM1.5 juta dan semua kerja berkenaan siap sepenuhnya, pada penghujung 2014,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Selangor Kini.

Kejadian banjir kilat yang berulang sering melanda beberapa wilayah di Selangor khususnya Kajang yang menyaksikan premis perniagaan dan Pasar Kajang ditenggelami air sedalam satu meter.

Banjir kilat itu dilihat mengganggu aktiviti harian serta kehidupan sosial penduduk.

Untuk rekod, banjir kilat di Kajang pernah berlaku, pada 2 Disember 2011 dan tiga kali pada  2014 iaitu 29 September, 12 November dan 20 Disember lalu dalam tempoh 30 minit hingga dua jam.

Prihatin dengan perkara itu, Zaidy berkata, pihaknya merangka beberapa pelan jangka pendek melibatkan peranan JPS bagi pembangunan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Jeluh (Fasa 3), pembinaan sambungan ‘Flood Wall’ dari Jambatan JPS Pasar ke Jambatan JKR Jalan Bukit sepanjang 50 meter.

zaidyKatanya, pelan itu termasuk penyelenggaraan kolam takungan di Taman Saujana Impian dan Taman TTDI Kajang dan pembinaan Gross Pollutant Trap (GPT),.

JPS juga akan menyelenggara sistem saliran bandar dan pembinaan sistem amaran banjir dengan anggaran kos keseluruhan bernilai RM5.5 juta.

Bagi pelan jangka panjang pula, JPS sudah melaksanakan pembinaan kolam takungan seluas 4.5 ekar di Penjara Kajang, Rancangan Tebatan Banjir Sungai Jeluh (Fasa 4), menaiktaraf jambatan dan utiliti, pembinaan struktur kawalan air, menaiktaraf sistem saliran bandar serta Gross Pollutant Trap (GPT).

“Proses tender dan kerja akan dilaksanakan tahun ini. Diharap, ia mampu mengatasi banjir selepas semua projek ini selesai,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.