Categories
SELANGOR

MDKL & pekilang jalin kerjasama banteras denggi

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 13 FEB: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) jalin kerjasama dengan pekilang bagi membersihkan kawasan industri dalam usaha mengatasi pencemaran sampah sarap dan tempat pembiakan nyamuk aedes di wilayah itu.

Yang Dipertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, MDKL sentiasa berhasrat mewujudkan persekitaran yang bersih, selamat dan mengurangkan risiko pencemaran di kawasan perindustrian dalam masa sama mencegah kejadian banjir.

“Usaha menjaga kebersihan dan pemuliharaan alam sekitar tidak hanya terletak di bahu MDKL tetapi harus digembeling semua pihak bagi mencapai hasrat murni ini,” katanya dalam satu kenyataan.

unnamedUsaha itu diambil selaras dengan pelan tindakan penjagaan serta kualiti alam sekitar di bawah Jawatankuasa Kecil Kesihatan dan Persekitaran Local Agenda 21 MDKL.

Dalam gotong-royong itu, sebanyak 600 pokok dari jenis “Muraya Paniculata” turut ditanam selain aktiviti kutipan sampah dan semburan lalat serta aktiviti membaling 500 biji ‘EM Mudball’ ke dalam parit monsun yang berperanan mengurangkan bau busuk longkang.

Program itu turut disertai kakitangan jabatan dan agensi tempatan, pelajar sekolah, penduduk kampung serta pekerja kilang.

unnamed (1)“Melalui program seperti ini, semua pihak dapat memainkan peranan meningkatkan lagi mutu alam sekitar di samping mengawal suhu bumi serta bencana alam, selain membendung penularan wabak denggi dan pembiakan haiwan liar yang boleh mengancam nyawa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, MDKL menghantar 12 kakitangannya menyertai Gerak Gempur Denggi 3.0 sebagai tanda sokongan kepada usaha Kerajaan Negeri memusnahkan penularan wabak denggi di Selangor.

“Semua kakitangan MDKL yang terlibat diberikan tugasan menjalankan kerja pembersihan kawasan dan memusnahkan tempat yang disyaki menjadi tempat pembiakan jentik-jentik,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.