Categories
SELANGOR

Novel adaptasi pilihan pengunjung Pesta Buku Selangor 2015

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 5 FEB: Pesta Buku Selangor 2015 berjaya menarik penggemar buku mendapatkan koleksi bahan bacaan pada harga lebih rendah daripada pasaran.

Promosi yang ditawarkan berjaya menarik pengunjung untuk membeli beberapa naskah bahan bacaan sejak dianjurkan, pada 29 Januari lalu.

Tinjauan Selangor Kini mendapati, penggemar novel menjadi penyumbang kepada hasil jualan yang besar ditambah beberapa naskhah yang diadaptasi kepada filem dan drama.

_MG_3437Eksekutif Acara Karyaseni dan Penulis2u, Badrul Hisham Zainudin, 34, ketika ditemui berkata, beberapa novel yang dijual di ruang pameran berjaya menarik pembeli ditambah terdapat cetakan baru selepas popular hasil adaptasi di kaca televisyen.

Tiga novel terlaris adalah Cinta Si Wedding Planner karya Dhiyana, Kau Tetap Milikku (Hairynn Salehuddin) dan Suamiku Paling Sweet (Anjell).

Novel berkenaan dijual pada harga RM24 dan RM25 selepas potongan harga sebanyak 17 peratus daripada harga asal.

Turut kelihatan novel yang dijual sempena tayangan di pawagam seperti Suamiku Encik Perfect 10 lakonan Aaron Aziz dan Lisa Surihani.

“Hasil jualan amat memuaskan berbanding tahun lalu. Kita menyediakan diskaun sehingga 70 peratus.

_MG_3429“Selain itu, pembeli akan mendapat satu novel Kampung Girl secara percuma dengan pembelian lima novel,” katanya kepada Selangor Kini.

Bagi penggemar majalah lawak, ruang pameran penerbitan MOY Publication menjadi tumpuan bagi mendapatkan majalah APO? dan Ujang yang sinonim di pasaran tempatan.

Eksekutif Jualan dan Promosinya, Syed Mohd Syahiran Syed Abdullah, 25, berkata penggemar majalah boleh mendapatkan beberapa keluaran edisi khas dengan harga yang lebih murah selain majalah terbitan bulanan,.

Selain majalah, ruang pameran syarikat berkenaan turut menjual cenderahati MOY Publication dengan promosi pembelian tiga majalah, percuma satu beg kertas.

_MG_3453“Alhamdulillah jumlah pengunjung amat baik. Setiap hari ada pembeli terutama cuti umum.

“Sasaran kami adalah kanak-kanak. Tetapi, pembeli kami lebih ramai orang dewasa sebab pembaca majalah Ujang adalah mereka yang melewati usia 30 hingga 40 tahun ke atas.

“Mereka masih berminat dan membeli majalah berbentuk koleksi,” katanya.

Tidak ketinggalan dalam pameran buku sempena Temasya Selangor 2015 itu adalah karya ilmiah berbentuk keagamaan.

Selangor Kini turut berkunjung ke Inteam Publishing yang menjual beberapa buku tulisan ilmuan Islam, selain cakera padat alunan zikir daripada pendakwah bebas.

Eksekutif Jualannya, Mohd Anas Abdul Rahman, 28, berkata tiga ensklopedia iaitu Al-Azkar Edisi Bahasa Malaysia karangan Imam An-Nawawi, Mukasyafah Al-qulub (karangan Imam Al-Ghazali) serta Khilafiah, Persoalan dan Penjelasan karya Ustaz Muhadir Joll antara buku terlaris dijual.

_MG_3407“Buku ini dijual pada harga RM129 tetapi pada pesta buku ini, kita hanya jual pada harga RM100 sahaja. Memang jauh lebih murah daripada pasaran.

“Ada buku yang dijual dengan tawaran potongan harga sehingga 60 peratus, bahkan naskhah yang berharga RM25 juga boleh didapati pada harga RM10 sahaja khas untuk pengunjung pesta buku Selangor,” katanya.

Selain kitab agama yang diolah semula, terdapat cakera padat alunan zikir seperti Ya Hanana oleh Al-Habib Syeikh Abdul Qadir As-Sagaf dan beberapa artis di bawah naungan Inteam Records turut dijual.

Pesta Buku Selangor 2015 berlangsung meriah di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) bermula pada jam 10 pagi sehingga 9 malam pada hari biasa, manakala 10 pagi hingga 10.30 malam pada hari Sabtu dan Ahad, sehingga 8 Febuari ini.

-NFN-

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.