Categories
SELANGOR

Pelajar UIAM wakili Selangor ke Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-36

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 7 FEB: Penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terpilih mewakili Selangor ke Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-36, pada Mac ini.

Pemilihan Muhammad Ismail Hassanuddin, 19, itu selepas beliau muncul juara keseluruhan pertandingan peringkat negeri kategori Tahap 3 Lelaki (1 – 30 Juz) dengan markah 97.35 peratus.

Penuntut tahun pertama jurusan Sarjana Muda Ekonomi itu membawa pulang wang tunai RM5,000, pakej umrah, piala iringan, persalinan pakaian dan sijil penghargaan.

_MG_4225 copyMuhammad Ismail dari Gombak berkata, displin dalam amalan mengulang bacaan sehingga enam juzuk al-Quran setiap hari membuahkan hasil.

“Syukur dan tidak sangka dengan kemenangan hari ini. Saya harap dapat meneruskan kejayaan buat Selangor di peringkat kebangsaan nanti,” katanya yang ditemui selepas upacara penyampaian hadiah Pertandingan Hafazan Peringkat Negeri Selangor 2015 di Auditorium Dewan Jubli Perak, di sini, semalam.

Ditanya berkenaan kecermelangannya menghafal al-Quran, beliau berkata, dirinya sering meletakkan sasaran berapa ayat Al-Quran yang ingin dihafal selain disiplin.

“Niat kena betul, saya mula menghafal al-Quran pada usia 13 tahun dan berjaya menghafal 30 juzuk setahun kemudiannya.

_MG_4121“Nasihat saya kepada mereka yang ingin menjadi huffaz, sedikit atau banyak masa yang diambil untuk menghafal bukan soalnya, yang penting keazaman dan komitmen,” katanya yang pernah memenangi pertandingan menghafal al-Quran di Pahang pada tahun 2011.

Dalam majlis itu ,Tengku Panglima Diraja Selangor, YAM Tengku Sulaiman Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang mewakili DYMM Sultan Selangor berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Johan kategori Tahap 3 Perempuan (1- 30 Juz) pula dimenangi Nadhiroh Mohd Asri dari Hulu Langat dengan markah 95.3 peratus.

Kategori Tahap 1 Lelaki (1 -10 Juz) dimenangi Ahmad Adil Luqman Nor Ismail dari Petaling, manakala Siti Hajar Anuar dari Sepang memenangi kategori perempuan.

Manakala, Tahap 2 lelaki (1 -20 juz) dimenangi Muhammad Zul Akmal Abdul Latif dari Petaling, manakala Robihah Hasbi dari Klang memenangi Kategori Perempuan.

Seramai 42 peserta terdiri daripada 26 lelaki dan 16 perempuan dari sembilan daerah memperdengarkan bacaan hafazan mereka.

Sementara itu, Datuk Harris Kassim berkata, seramai 23 peserta layak menerima elaun insentif bulanan RM100 selama enam bulan.

“Mereka dipilih kerana mencapai markah 90 peratus ke atas bagi semua kategori ujian sama ada lelaki dan perempuan.

“Manakala, enam peserta bagi tahap 3 (1-30 juzuk) yang memperoleh markah 90 peratus akan mendapat pengecualian temuduga isbat hafazan dan layak menerima elaun RM3,000 bagi sesi 2015. Elaun ini akan dibayar oleh Lembaga Zakat Selangor,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.