Categories
SELANGOR

Hasrat ibu tunggal miliki tanah selama 35 tahun tertunai

Oleh: AFEEQA AFEERA

GOMBAK, 22 MAC : Penantian seorang ibu tunggal untuk mendapatkan surat hak milik tanah (Notis 5A) bagi tanah yang diduduki selama 35 tahun akhirnya tercapai setelah menerima kelulusan daripada Kerajaan Selangor.

Khadijah Shaari, 60, berkata beliau pernah mencuba nasib untuk memohon hak milik tanah sebelum ini, namun terpaksa menunggu proses yang panjang bagi melayakkannya menerima notis terbabit.

khadijah aNamun, katanya proses permohonan itu menjadi mudah sebaik sahaja Pakatan Rakyat (PR) mula mengambil alih pentadbiran Selangor pada 2008.

“Syukur alhamdulillah, penantian saya selama 35 tahun akhirnya berakhir setelah menerima surat hak milik tanah daripada Kerajaan Selangor ini.

“Saya tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan notis 5A, malah bayaran premium juga tidak terlalu tinggi, jadi saya sangat gembira dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang memudahkan urusan ini,” katanya yang menetap di Kampung Sri Gombak Indah kepada Selangor Kini.

Perasaan sama turut dikongsi A.Muthusamy, 45, yang merasa gembira apabila permohonan kali pertama untuk mendapatkan hak milik tanah diluluskan Kerajaan Selangor dalam tempoh singkat.

Muthumary aBeliau yang berasal dari Kampung Jaya Sepakat sudah mendiami kawasan terbabit sejak sepuluh tahun lalu bersama isteri dan empat orang anaknya.

“Saya percaya proses pemberian hak milik tanah ini dapat dilakukan dengan cepat disebabkan sikap Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali yang peka terhadap masalah rakyat.

“Bayaran premium juga munasabah dan tidak membebankan rakyat untuk melunaskannya. Terima kasih Kerajaan Negeri,” katanya.

Bagi Saidin Mat Saman, 79, beliau merasa terharu setelah hasratnya untuk mendapatkan hak milik tanah terlaksana setelah menunggu selama 30 tahun sejak 1985.

saidin“Syukur alhamdulillah, hajat saya untuk mendapatkan notis 5A tertunai walaupun perlu melalui proses yang panjang sebelum ini,” katanya.

Seramai 132 penerima layak menerima notis 5A yang diserahkan Azmin dalam satu majlis penyerahan di Kompleks Muhibbah, Batu Caves, pagi tadi.

Penyerahan notis 5A itu membabitkan empat buah kawasan di daerah Gombak, antaranya Kampung Sri Gombak Indah, Kampung Selayang Baru, Kampung Jaya Sepakat dan Kampung Melayu Jalan Kilang Papan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.