Categories
SELANGOR

‘Red Giant’ lapar kemenangan, fokus latihan tajamkan serangan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 MAC: Terluka selepas dikecewakan Terengganu dalam saingan kalah mati Piala FA Rabu lalu, pasukan Selangor tampak lebih ghairah untuk memperolehi mata penuh ketika menentang Sime Darby 4 April nanti.

Keghairahan untuk menang itu dapat dilihat dengan kesungguhan pemain ‘gergasi merah kuning’ itu ketika menjalani sesi latihan.

Red Giants3Kapten Selangor, Rizal Fahmi Abd Rosid berkata, antara fokus utama dalam latihan ketika ini menajamkan jentera serangan bagi menghasilkan gol.

“Keserasian atas padang pada masa ini cukup baik cuma kami perlu mengasah ketajaman serangan.

“Latihan kami sekarang juga banyak fokus untuk menajamkan lagi serangan untuk dapatkan gol,” kata pemain Rizal ketika dihubungi Selangor Kini.

Sementara itu, pemain pertahan kiri Mohd Azmi Muslim pula berkata keghairahan Selangor untuk memperolehi mata demi mata semakin jelas.

“Memang tak dinafikan agak kurang konsisten pada awal musim tetapi semakin baik bila mencapai beberapa kemenangan.

“Malangnya atas faktor kecuaian sendiri kami tewas kepada Terengganu baru-baru ini dan ini menjadikan kami ‘laparkan’ kemenangan selepas ini,” kata Mohd Azmi.

Mohd Azmi juga menyeru penyokong pasukan Selangor supaya terus memberikan sokongan kepada mereka.

“Sokongan anda semua amatlah penting bagi kami. Tanpa sokongan penyokong setia ini siapalah pemain,” kata Azmi.

Dalam carta Liga Super ketika ini, Selangor menduduki tangga ketiga dengan lapan mata selepas mencatatkan dua kemenangan, dua seri dan sekali tumpas di tangan Terengganu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.