Categories
SELANGOR

Afiq: Kekalkan semangat berpasukan lakar terus kemenangan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 APR: Kejayaan melakar ‘hatrick’ ketika membenam Lions XII 4-0 Sabtu lalu menyuntik semangat Muhammad Afiq Azmi menjaringkan lebih banyak gol dalam perlawanan akan datang termasuk bertandang ke gelanggang ‘The Red Warrior’ – Kelantan Sabtu ini.

Muhammad Afiq berkata, pasukan Selangor perlu memastikan mengekalkan rentak kemenangan bagi memastikan terus kekal di persada Liga Super.

11080918_1027952463890946_76115316158084639_nKatanya, kejayaan itu mampu diteruskan dengan komitmen semua pemain dengan mengekalkan semangat berpasukan.

“Apa pun, sudah tentu disebabkan adanya bantuan rakan sepasukan di sebalik kejayaan hatrick saya itu.

“Saya tak lakukan berseorangan tetapi seluruh pasukan berhak menerima pujian. Terima kasih kepada semua pemain,” kata Muhammad Afiq ketika dihubungi Selangor Kini di sini, hari ini.

Jelas Muhammad Afiq yang menyimpan hasrat mewakili pasukan kebangsaan itu, kemenangan bergaya ke atas Lions XII sama sekali tidak menjadikan beliau dan rakan sepasukan leka.

“Kami terus fokus perlawanan demi perlawanan dan paling hampir bertemu Kelantan nanti,” kata Afiq lagi.

Penampilan pertama pemain berusia 26 tahun itu bersama Selangor ketika membantu pasukan gergasi merah itu membenam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Piala FA 2013.

Muhammad Afiq turut berjaya menjaringkan dua gol dalam penampilan sulongnya itu.

Muhammad Afiq turut merupakan pemain yang terlibat membantu Selangor meraih naib juara Liga Super pada musim 2013 dan 2014.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.