Categories
NASIONAL

Ancaman terhadap media punca indeks kebebasan akhbar jatuh

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 30 APR: Tindakan keras terhadap pengamal media seperti penangkapan dan ancaman menyumbang kepada penurunan indeks kebebasan akhbar di Malaysia.

Bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Mohd Hata Wahari, berkata agensi kerajaan dijadikan alat untuk menekan pengamal media bagi mengawal kebebasan serta hak bersuara.

“Terbaru, mengisytiharkan Gerakan Media Marah (GERAMM) sebagai haram sedangkan ia hanya kumpulan longgar menuntut kebebasan media.

“Tindakan keras terhadap wartawan memberi kesan teruk kepada indeks berkenaan,” katanya kepada Selangor Kini.

Laporan Kebebasan Akhbar 2014 Freedom House berpangkalan di Amerika Syarikat menunjukkan pemarkahan bagi Malaysia merosot dari 64 kepada 65 dan dikategori sebagai “tidak bebas”.

Kata Hata, undang-undang seperti Akta Percetakan dan Penerbitan juga tidak relevan kerana ia menghalang berita diterbit secara bebas.

“Akta itu perlu dipinda. Tak perlu permit cuma perlu kawalan dari segi kualiti, kuantiti atau editorial,” katanya.

Mohd Hata berkata penahanan kartunis juga menjejaskan kedudukan indeks dan ia akan terus merudum jika tiada perhatian serius.

“Kerajaan tidak mahu belajar, tidak berkompromi dan tidak mahu lihat kebebasan media pada tahap baik,” katanya.

– FZL –

Leave a Reply

Your email address will not be published.