Categories
NASIONAL

Bola sepak: Malaysia ‘hidup segan, mati tak mahu’ di arena antarabangsa

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 APR: Sukan bola sepak memerlukan proses transformasi di semua peringkat bagi memastikan pembangunan sukan nombor satu negara itu tidak terus tercicir berbanding negara lain.

Pengulas bola sepak terkenal yang juga bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh berkata, struktur pembangunan bola sepak ketika ini jelas tidak memberikan hasil diharapkan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Shebby berkata, keadaan itu diburukkan lagi dengan sikap FAM sebagai badan induk bola sepak negara yang tidak boleh menerima kritikan atau cadangan pihak lain.

bola selangor“Dah sampai masa negara memulakan permulaan baru dan satu transformasi. Selama ini, bola sepak kita di peringkat antarabangsa hidup segan mati tak mahu.

“Jadi satu tabiat, kita dipaksa menerima kegagalan. Saya rasa dah tiba masa membuat sesuatu yang berlainan dan lebih drastik kerana mungkin boleh memberi hasil.

“Namun, selagi badan induk tidak berubah, apa yang rakyat boleh buat. Cuma keluar di surat khabar dan televisyen tetapi tiada perbezaan.

“Apa juga yang kita cadangkan tetapi akhirnya terpulang kepada badan induk. Saya dah tengok ramai bekas pemain, peminat dan pihak lain suarakan pendapat tetapi tiada impak,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, baru-baru ini.

Shebby berkata, keadaan itu menyebabkan beliau dan pihak lain tawar hati untuk berkongsi idea serta visi bagi membangunkan bola sepak negara.

shebbyKatanya, negara memerlukan perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang dengan sasaran tertentu yang lebih jelas.

“Kalau di Eropah dan Amerika, pendidikan bola sepak sudah dimulakan seawal usia tujuh tahun berbanding 17 tahun di Malaysia.

“Seminggu dua atau tiga kali, anak mereka akan pergi ke kelab main bola sepak. Berbeza dengan anak kita yang bermain di sekolah sahaja. Bila  berumur 19 tahun baru masuk liga belia,” katanya.

Ketika menyentuh penubuhan kelab Myteam beberapa tahun lalu, Shebby berkata, program itu hanya rancangan realiti televisyen sahaja bukan untuk pembangunan bola sepak.

“Kalau ada yang boleh diikut adalah cara pemilihan kerana kami menjelajah ke seluruh negara untuk memberi peluang kepada golongan muda menunjukan bakat masing-masing,” katanya.

Sebelum ini, kedudukan pasukan bola sepak negara dalam ranking dunia jatuh ke tangga 164 berbanding ranking ke-153 pada Febuari lalu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.