Categories
SELANGOR

Exco: Slogan ‘Kita Lawan’ belum muktamad

Oleh Afeeqa Afeera

SUBANG JAYA 11 APR: Slogan ‘Kita Lawan’ yang dicadang untuk digunakan Kontinjen Selangor pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016, sebenarnya belum dimuktamad.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata slogan untuk diguna pakai dalam kejohanan di Sarawak itu masih di peringkat cadangan.

Katanya, perbincangan bersama Dato’ Menteri Besar dan persatuan sukan akan diadakan bagi mencapai kesepakatan mengenai slogan.

“Sukma berlangsung tahun hadapan. Jadi, bila slogan atau semangat juang yang kita lontarkan, dibuat pada saat akhir.

“Cuma cadangan itu terlepas dan dibincangkan secara meluas seolah-olah itu ketetapan muktamad,” katanya.

Beliau mengulas titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berharap tiada kontroversi melanda Kontinjen Sukma 2016 bagi menjaga nama baik atlet dan pasukan negeri.

Baginda lebih berkenan jika Kontinjen Selangor mencari slogan yang bersemangat tetapi tidak mengandungi unsur politik bagi mengelakkan ada unsur politik atau perkauman.

Amiruddin turut menjunjung tinggi keprihatinan DYMM Sultan Selangor dalam bidang sukan yang mahu kemajuan sukan negeri dimartabat seperti masa lalu.

“Kita ambil perhatian serius. Kita akan hasilkan satu slogan yang lebih baik dan bersemangat untuk memartabat sukan di negeri ini,” katanya.

FZL

Leave a Reply

Your email address will not be published.