Categories
SENI

CERPEN: Salib Existensial

Oleh Ridhwan Saidi

Sebatang salib panjat turun dari puncak gereja di ibukota. Salib itu kau. Kau sarung jaket denim lalu menapak ke pub di hujung lorong. Dalam perjalanan, azan Isyak berkumandang.

Tak pernah kau ke pub seawal ini. Tapi apa pun malam ini mesti cepat sebab besok pagi Ahad, waktu paling penting dalam profesion kau selaku salib. Kau tak nak pengunjung-pengunjung ke gereja di pagi Ahad tanpa melihat keberadaan kau di puncak gereja, kan?

Mungkin aku tertanya bagaimana tiang salib boleh kenal azan?

Beginilah, ia seperti yang biasa kau cerita kat kawan-kawan kau, “Kita ni hidup dalam negara majmuk yang paling bertoleransi kat dalam dunia. Kenapa mesti kau jahil dengan agama lain? Takkan begitu sempit keluasan akal yang dikurnia Tuhan?”

Kau sampai Gogol’s Place dan premis itu lengang. Kau terus ke bar mendapatkan Joe, bartender warga Filipina. Dia leretkan air kencing setan kegemaran kau. Kau minum bagai nak rak hingga tak sedar yang pub itu makin sesak dan bising. Kau malah tak sedar siapa duduk di sebelah kau sebelum dia tegur, “Ada lighter?”

Kau angguk dan keluarkan lighter dari poket jaket dan nyalakan rokok dia. Kau tertanya samada dia lelaki atau perempuan, tapi semua itu dah tak penting sebab sekarang kau dah benar-benar mabuk untuk bezakan pondan atau bapok. Kau tanya dia jam pukul berapa dan kau dapati kau tengah cakap dengan kerusi kosong.

Kau pandang lantai tarian dan Santa Claus sedang menari bersama salah seekor rusanya. Kau tak hairan sebab kau tahu Santa hanya kerja sehari dalam setahun iaitu pada malam sebelum Krimas, menunaikan permintaan-permintaan kanak-kanak dengan memberikan mereka hadiah.

Maka tidak hairanlah Santa sedang berfoya-foya bersama salah seekor rusa kegemarannya di pub ini.

Kau tegur Santa tapi beliau seakan dilambung ekstasi.

“Pil kuda,” kata rusa itu sebelum menambah, “Beliau telan pil kuda.”
Wajah rusa itu kabur, kau tak jelas dengan apa yang diperkatakannya.

Kadang-kala muka rusa itu kelihatan seperti keldai.

Kau menjarakkan diri lalu keluar dari premis itu. Lampu jalan dan biasan neon bercampur dengan bayang-bayang lalu merangkak pada tubuh kau, menarik diri kau kembali ke mana kau patut berada iaitu di puncak gereja mendekatkan diri dengan Tuhan.

Kau menapak balik terhuyung-hayang. Setibanya di perkarangan, kau tanggalkan jaket dan panjat naik ke puncak. Kau depakan tangan dalam keadaan sober mengadap terbit fajar. Kau menikmati matari kurniaan Tuhan.

Lalu kau pandang ke arah manusia-manusia alim di bawah yang berpusu-pusu ke gereja, tapi kali ini tak macam pagi Ahad lain. Ada jentera bomba dan manusia-manusia statik berdiri. Mereka rakam foto dan video kau pakai fon dan tablet.

Mereka tenung dan bergosip fasal kau. Kau tak pasti apa tapi dari riak wajah seolah mereka nak cungkil mata kau. Langit makin biru dan kau rupanya tengah depakan tangan atas kubah masjid.

Memalukan. Itu apa yang boleh kau fikir atas tindak kesilapan kau. Kau berjanji tak akan minum lagi. Kau rancang nak buat sidang media untuk buat permohonan maaf secara terbuka di atas kecuaian kau, tapi semuanya dah terlambat. Kau diturunkan oleh anggota bomba bertubuh sasa (rujuk kalender rasmi Jabatan Bomba dan Penyelamat 2015).
Dalam perjalanan pulang ke gereja, kau dibaling dengan sayur busuk, diludah dan dicaci. Joe, bartender Gogol’s Place, orang terakhir yang kau fikir akan jumpa, datang memeluk kau, bersolidariti dan bersama-sama dicaci, diludah dan dibaling sayur busuk.

Kau tanya Joe kenapa dia sanggup buat begitu sedangkan tiada talian persaudaraan. Dan Joe kata, “Saja… hobi.”

ridh

Tajuk berita terkini tengah hari itu berbunyi, ‘Salib di puncak masjid. Angkara siapa?’ Salib-salib lain di puncak dan dinding gereja mengelengkan kepala apabila mengetahui perkhabaran ini.

Isu ini dibawa ke jalanan melalui protes aman dan disiarkan secara langsung di kaca tivi dan muka depan surat khabar. Kau tak sempat join sebab malam itu kau dihadapkan ke tribunal Salib seMalaysia yang dihadiri salib-salib dari rantau Asia Tenggara. Ada khabar angin mengatakan bahawa delegasi salib dari kota Vatican turut hadir.

Meski kau cuak, kau akui kesilapan kau dan hukuman dijatuhkan secara musyawarah. Kau cuba rasuah hakim dengan wang simpanan KWSP akaun 2 kau, tapi tak lepas sebab kau dah gunakan duit itu untuk beli laptop dan kau bukan siapa-siapa lagi pun. Kau cuma salib di sebuah gereja marjinal di ibu kota.

Lalu segera kau dicampak ke neraka untuk dibakar sementara penjenayah kolar putih yang lepas via rasuah, mengadakan kenduri kesyukuran dengan hidangan juadah kambing golek, kebab, ketupat, satay dan wain hangat.

Tawa hilai ho! ho! ho! tetamu kehormat yang terdiri daripada orang-orang kenamaan ditemani para gundik mereka berselang dengan lolongan azab kau dipanggang api neraka.

Leave a Reply

Your email address will not be published.