Categories
SELANGOR

Dadah: Penguatkuasa MBSA berdepan risiko tamat perkhidmatan

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 7 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tidak akan berkompromi dengan anggota atau pegawai yang dipercayai terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, pesalah bakal berdepan tindakan tegas termasuk risiko tamat tugas jika didapati positif dadah.

“Seperti jabatan kerajaan lain, MBSA tegas dalam soal ini. Saya gesa semua pihak memainkan peranan masing-masing bagi memantau dan memastikan pegawai atau anggota di bawah seliaan tidak terjebak dan bebas pengaruh dadah,” katanya.

SHAH ALAM 07 May 2015. Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad, memeriksa perbarisan ketika di Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Pembantu Penguatkuasa dan Pengawal Keselamatan Siri 1 / 2015 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam. STR/Faiz Anuar

Beliau berkata demikian ketika ditemui Selangor Kini selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Pembantu Penguatkuasa dan Pengawal Keselamatan siri 1 /2015, di Dataran Kemerdekaan, di sini, semalam.

Setakat ini, seorang pegawal keselamatan berstatus kontrak didapati positif dadah dan ditamat perkhidmatan sebulan lalu kerana gagal dalam ujian urin.

“Berkenaan masalah displin, kakitangan bermasalah akan dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib terlebih dahulu, kita beri peluang mereka bela diri sebelum tindakan seterusnya diambil.

MBSA“Kalau terus dibuang, kejam bunyinya. Tetapi mereka yang bermasalah perlu tunjuk perubahan jika tidak bakal berdepan risiko kehilangan kerja,” katanya.

Pada majlis itu, 36 penguatkuasa dan pengawal keselamatan berjaya menamatkan kursus merangkumi latihan fizikal, mental serta akademik selama sebulan, bermula 1 April lalu.

Inisiatif merekrut anggota baharu diambil bagi meransang perkhidmatan perbandaran cemerlang dari aspek keselamatan, persiapan menghadapi bencana dan aktiviti penguatkuasaan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.