Categories
SELANGOR

Selangor lancar SITEC & SDCC rangsang e-dagang

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 22 MEI: Kerajaan Negeri mengambil langkah menubuhkan Majlis Tekonologi Informasi dan E-dagang Selangor (SITEC) dalam usaha menyokong perdagangan elektronik (e-dagang) secara meluas,

Pada masa sama, inisiatif Pusat Kreatif Digital Selangor (SDCC) turut dilancarkan sebagai projek utama stanco pelaburan untuk menjadikan negeri itu sebagai hab perdagangan antarabangsa.

Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS) & Perdagangan dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata, ia adalah landasan bagi menghimpunkan pakar teknologi, wakil peniaga dan ahli akademik untuk merumuskan model perniagaan e-dagang yang sesuai bagi Selangor.

teng chang kim“SITEC akan menggalakkan gerakan pencipta di Selangor dan memberi rundingan nasihat kepada Pelaburan Selangor Berhad yang menjadi agensi pelaburan di negeri ini.

“Selain itu, unit eksekutif SITEC juga akan menjalankan kursus untuk membantu usahawan dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sebagai permulaan kepada aktiviti e-dagang,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.

Chang Khim berkata, SITEC akan melaksanakan projek ‘Selangor Online 100’ membabitkan unit eksekutif yang akan membantu usahawan IKS memulakan perniagaan secara talian dalam tempoh setahun sebagai permulaan.

Katanya, ‘Selangor Apps 100’ bakal dilancarkan merangkumi pelbagai sektor di Selangor antaranya pelancongan, jabatan kerajaan dan pelbagai cabang perniagaan.

“Manakala, SDCC akan menyediakan perkongsian tempat kerja untuk usahawan baru bagi membantu mereka memulakan kerjaya dan memperluaskan rangkaian perniagaan.

“Kita jangka dalam tempoh 12 bulan akan datang, kelas bulanan dilaksanakan untuk usahawan berkaitan e-dagang di samping persidangan tahunan bagi mendapatkan pelabur dalam inovasi yang dilatih di SDCC,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.