Categories
SENI

Kasta pemahaman dan penghakiman buku

Oleh Muhammad Arif Bazli

Saban bulan, pelbagai genre buku banyak dilancarkan oleh rumah penerbitan yang berselerakan seluruh negara.

Sebahagian buku yang diterbit sudahpun diulas peminat buku dan menjadi viral. Mereka terdiri daripada kawan-kawan penulis mahupun komuniti buku yang tumbuh mekar meramahi dunia buku.

Mengikut Pandangan Virginia Woolf, kebanjiran buku yang melanda dunia adalah citrawarna yang digubah bagi memeriahi dunia pembacaan kotemporari.

Persoalan terbesar, adakah kita memiliki kepakaran yang cukup dalam menilai kualiti setiap buku untuk memenuhi karenah dan permintaan majoriti pembaca?

Seringkali peminat buku merungut terutama pembaca metropolitan, menghadapi masalah kekangan masa atas kesibukan seharian yang berganda.

Justeru, mereka terpaksa menggunakan pilihan terakhir dengan membaca beberapa buku yang menjadi buah mulut para bibliholisme sahaja.

Sudah pasti pemilihan buku itu berdasarkan ulasan pembaca terdahulu. Jarang sekali kita membaca sinopsis di kulit buku tanpa membaca ulasan terlebih dulu.

Kebiasaannya, kita akan segera ke kedai buku untuk membaca sinopsis di kulit buku apabila segala fikiran kita jelas dan tertarik dengan sesebuah buku itu.

Isu kemuncak dari birokrasi dunia pembacaan buku. Adakah pembaca dapat menghabiskan sesebuah buku berkualiti berdasarkan cadangan kebanyakan pembaca?

Adakah kita membaca buku berkualiti kerana ingin bersaing tingkat intelek setiap manusia? Sedangkan kita telah menidakkan kemahuan pembacaan yang sebenar-benarnya.

Pengalaman seorang pembaca penting untuk menentukan tahap keseronokan sesebuah buku yang ditelaah berminggu-minggu.

Keseronokannya tidak akan dicapai berdasarkan pengaruh luar melainkan sekadar mengumpulkan senarai daftar tahunan untuk diperhebah kepada peminat buku lain.

Buku yang terbaik adalah buku yang dapat dihabiskan oleh seseorang pembaca dengan membaca secara teliti perkataan demi perkataan dengan cermat – kadangkala terlalu risau jika buku itu sudah dihabisi pembacaan dalam masa singkat.

Kualiti sesebuah buku adalah keselesaan seorang pembaca apabila membuka pintu rumah seorang penulis yang berceloteh tentang keindahan dunianya.

Tragedi sebuah penceritaan penulis apabila seseorang pembaca gagal menghabiskan pembacaan buku dan kegagalan seorang penulis menyampaikan seni penceritaan terhadap pembaca.

Santunilah penulis, melompat baris demi baris sehingga bertemu noktah yang terakhir dengan mengagumi pembentukan cerita mereka. Jika terbukti kita seorang pembaca sejati.

Mengolah minda dari sesebuah pembacaan meletakkan buku sebagai alat teka-teki yang menyelongkar segala keabsurdan dunia mereka dan diterjemah dalam pemahaman seseorang pembaca yang secara realiti berbeza kasta pemahaman.

Peranan pembaca ialah mengulas buku supaya sekurang-kurangnya kita mengambil berat terhadap buku dan bakal memberi semangatĀ  berterusan terhadap penulis muda.

Jika terpaksa membuat keputusan sama ada sesebuah buku itu dianggap baik, adakah ia bermakna kita tidak tahu untukĀ  menikmatinya.

Dan lebih aneh, kita tidak tahu sama ada keseronokan itu akan mendapat sambutan sesuai dalam realiti pembacaan.

Suka atau tidak suka terhadap buku seseorang penulis sama ada kawan atau orang asing bukan isu yang perlu diperhalusi.

Setiap buku mewakili setiap sudut kemanusiaan yang belum habis diteroka oleh setiap pembaca yang bergelut menghakimi sesebuah buku.

Leave a Reply

Your email address will not be published.