Categories
SELANGOR

Lebih 5,000 premis diperiksa tingkat kebersihan

Oleh: NAEEM RAFFI

PETALING, 4 JUN: Lebih 5,000 premis melibatkan 11 Pusat Bandar di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bakal diperiksa dalam operasi selama dua bulan bermula 15 Jun depan.

Timbalan Datuk Bandar MBPJ, Johary Anuar berkata operasi itu digerakkan bagi memastikan pemegang lesen menjaga kebersihan dan keindahan premis dan kawasan sekitar.

MBPJ“Pemeriksaan mengenalpasti kejadian pencemaran air longkang, perangkap minyak tidak berfungsi, tiada tong sampah, penutup longkang, aktiviti mencuci di longkang dan perniagaan di lorong belakang.

“Enam kesalahan itu dikeluarkan di bawah undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perlesenan (MBPJ), 2007, Undang-Undang Kecil Establismen Makanan (MBPJ), 2007 serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan, 1974,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat MBPJ yang turut dihadiri Penolong Pegawai Tadbir, Jabatan Perlesenan MBPJ, Zaleha Ahmad.

Operasi itu melibatkan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Jabatan Kesihatan Persekitaran, Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Perlesenan.

Johary berkata, notis peringatan dikeluarkan serta merta bagi membolehkan pemegang lesen membetulkan kesalahan dalam tempoh 14 hari.

“Pemegang lesen dikehendaki mengembalikan surat rayuan bersama bukti foto kerja pemulihan dilakukan kepada Jabatan Perlesenan.

“Kegagalan berbuat demikian memberi kesan kepada proses memperbaharui lesen menjelang Oktober ini,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.