Categories
SELANGOR

MBPJ belum lulus pembangunan baru D’sara Damai

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 JUN: Tiga syarikat pemaju masih belum memperolehi kebenaran merancang daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) seperti didakwa sesetengah pihak.

Bagaimanapun pemaju terbabit dipercayai terlebih dahulu membuat pengiklanan dan promosi awal bagi tujuan melariskan jualan unit ditawarkan.

MBPJAdun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong berkata, keadaan itu menyebabkan sesetengah penduduk Damansara Damai menganggap MBPJ sudah beri kelulusan projek perumahan terbabit.

“Mereka buat pengiklanan, jadi penduduk fikir kebenaran merancang dah diberi untuk jalankan projek serta merta.

“Bagaimanapun semakan MBPJ mendapati syarikat itu buat pengiklanan awal sedangkan ada syarat tertentu perlu dipenuhi dan dia ada mohon tapi belum diluluskan,” kata Elizabeth ketika ditemui Selangor Kini di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

Justeru itu, Elizabeth menasihati mana-mana pihak berminat membeli unit ditawarkan agar tidak tergesa-gesa membuat sebarang bayaran pendahuluan.

Elizabeth juga memberitahu, Timbalan Datuk Bandar MBPJ, Johary Anuar juga mengadakan sesi penerangan kepada persatuan penduduk dan pihak pengurusan bangunan berhubung isu ini kira-kira dua minggu lalu.

“Semasa mesyurat itu, Encik Johary Anuar telah maklumkan bahawa pembangunan yang baru di Damansara Damai tidak boleh dilakukan selagi isu trafik tidak diselesaikan.

“Saya ambil maklum rintihan penduduk dan saya rasa ini adalah pendekatan yang bagus oleh MBPJ supaya isu trafik dapat diselesaikan,” kata Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor itu lagi.

Pada 13 Jun lalu, penduduk Damansara Damai mengadakan demontrasi aman menuntut laluan kedua sebelum sebarang projek pembangunan baru dijalankan.

Penduduk mendakwa, kegagalan menyediakan laluan kedua sebelum pembinaan projek baru akan menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan berpenduduk padat itu semakin buruk.

EY

Leave a Reply

Your email address will not be published.