Categories
SELANGOR

Pasca gempa: Durba kelaparan, hidup sebatang kara

Oleh: AFEEQA AFEERA

KATHMANDU, 2 JUN: Gegaran Himalaya yang mengorbankan lebih 8,000 nyawa pada April dan Mei lalu meninggalkan kesan mendalam buat penduduk di negara itu.

Kebanyakan daripada mereka bukan sahaja kehilangan tempat tinggal, malah ada di kalangan ahli keluarga yang turut terkorban dalam tragedi dahsyat itu.

DurbaTidak terkecuali, Durba, 55, yang hidup sebatang kara hilang mata pencarian serta tempat perlindungan setelah rumahnya di kawasan Bhaktapur musnah dalam gegaran teruk dalam tempoh 80 tahun.

Dia yang memilih jalanan sebagai ‘kediaman’ baru hanya mengharapkan simpati orang ramai demi mencari sesuap makanan dan menampung hidupnya yang dianggap tidak lagi bererti.

“Saya tidak mempunyai keluarga dan tidak pernah berkahwin, jadi tiada sesiapa yang menyara saya selama ini.

“Selepas kejadian, rumah saya musnah dan terpaksa tinggal di jalanan kerana tiada sesiapa yang mahu membantu.

“Saya kelaparan dan ketakutan,” katanya kepada Syamsul Haq, juru bahasa warganegara Nepal yang mengiringi kru misi bantuan kemanusiaan di negara itu.

Kehadiran Durba sebenarnya hanya disedari apabila beliau mengikut penulis dan kru misi bantuan yang sedang membuat tinjauan di sekitar daerah Bhaktapur.

Durba tidak bersuara meminta sedekah, sebaliknya hanya duduk berhampiran penulis sehinggalah juru bahasa kami menyapanya dan bertanya soalan.

Dia hanya berlalu setelah salah seorang daripada kru misi bantuan kemanusiaan menghulurkan wang Rupee sebagai ‘duit poket’ untuknya membeli makanan.

NEPAL“Terima kasih” kata Durba dengan perasaan gembira sebelum pergi meninggalkan kami.

Gempa bumi berukuran 7.9 skala Richter melanda Nepal di kawasan antara ibu negaranya, Kathmandu dengan bandar Pokhara pada 2.56 petang (waktu Malaysia), 25 April lalu.

Tragedi berkenaan disifatkan paling teruk melanda Nepal dalam tempoh 81 tahun.

Antara yang musnah dalam kejadian itu adalah tapak warisan Unesco, Bhaktapur Durbar Square.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.