Categories
SELANGOR

Paragliding Bukit Jugra dinaik taraf bertaraf antarabangsa

Oleh: NAEEM RAFFI

BANTING, 20 JUL: Pusat Paragliding Bukit Jugra antara kemudahan sukan yang tersenarai untuk dinaik taraf dalam perancangan jangka panjang, kata Exco Sukan, Amirudin Shari.

Katanya, sukan lasak itu berpotensi besar untuk dibangunkan memandangkan ia pernah dipertandingkan dalam kejohanan Sukan Asia Tenggara (SEA) di Indonesia, 2011 lalu.

paragliding1“Sudah sampai masanya, Kerajaan Negeri meneliti semula dalam perancangan tahun depan untuk menambahbaik kemudahan sukan ini.

“Kita juga akan bekerjasama dengan pelbagai pihak berkaitan dalam kempen memakmurkan sukan ini kepada masyarakat,” katanya kepada Selangor Kini.

Pusat Paragliding Bukit Jugra adalah lokasi tunggal di Selangor dalam penganjuran aktiviti paragliding dan tersenarai dalam peta dunia sejak Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menganjurkan beberapa siri kejohanan bertaraf antarbangsa sejak 2006.

Kejayaan menganjur beberapa siri kejohanan bertaraf antarbangsa pada 2006, 2007 dan 2008, MDKL diberi kepercayaan menganjurkan Paragliding Accuracy World Cup (PGAWC) Jugra pada 2009.

Bagi 2014, kejohanan ini ditukar kepada Jugra Paragliding Accuracy Championship (JIPGAC) dan berterusan tahun ini.

JIPGAC 2015 yang berlangsung Mei lalu menyaksikan penglibatan 55 peserta dari Vietnam, Korea Selatan, Filipina, Jepun, Singapura, Hong Kong, Indonesia, Switzeland dan juga Malaysia berentap memburu tiga kategori dipertandingkan.

“Kita pastikan agensi terlibat memainkan peranan agar prestasi sukan ini seiring dengan negara luar yang mempunyai jaguhan ternama.

“Tidak mustahil semua ini dapat dicapai kerana kita sudah terdedah dengan beberapa kejohanan di peringkat negara dan antarabangsa,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.