Categories
SELANGOR

PAS Selangor tunggu arahan Pusat

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 JUL: PAS Selangor akan meneruskan hubungan dan kerjasama dengan DAP demi amanah rakyat yang diterima pada Pilihanraya Umum Ke 13 lalu.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Samad berkata hubungan dan kerjasama itu termasuk Exco, Adun, Ahli Majlis dan Ketua Kampung.

“Kami juga ingin menjelaskan bahawa hubungan dan kerjasama di dalam kerajaan adalah berdasarkan jawatan-jawatan kerajaan seperti Exco, Ahli Dewan Negeri, Ahli Majlis dan Ketua Kg maka akan diteruskan demi menjaga amanah rakyat yang diterima pada PRU13,” katanya dalam kenyataan kepada SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya dimaklumkan bahawa Majlis Syura Ulamak (MSU) sudah memutuskan agar hubungan tahaluf siasi dengan DAP dibatalkan.

“Kami juga dimaklumkan bahawa pelaksanaan keputusan ini diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (JKPP) menurut kesesuaian dan keperluan politik semasa,” katanya.

Sehubungan itu katanya, PAS Selangor meneruskan kerjasama dan hubungan sehingga menerima arahan rasmi daripada JKPP.

Kelmarin, PAS mendapat kelulusan daripada Majlis Syura Ulamanya (MSU) untuk memutuskan hubungan dengan DAP – sambil kekal meneruskan keadaan sedia ada dengan PKR.

Setiausaha MSU Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata majlis itu mengadakan perbincangan mengenai isu itu kelmarin.

Katanya, keputusan diambil MSU akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pusat PAS untuk tindakan selanjutnya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.