Categories
SELANGOR

Rizab negeri meningkat lebih 100 peratus berbanding 2009

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM 23 JULAI: Rizab negeri atau kumpulan wang disatukan terus meningkat pada tahap RM3.654 bilion sehingga 30 Jun lalu berbanding RM1.3 bilion pada 2009.

Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Noordin Sulaiman, berkata kenaikan itu melebihi 100 peratus berdasarkan peningkatan kutipan hasil negeri dalam tempoh setengah tahun.

Katanya, hasil negeri diperoleh dari urusan tanah, cukai parit dan tali air, cukai hutan, lesen dan permit, perolehan jualan barang-barang atau premium tanah dan lain-lain.

“Sehingga 30 Jun lalu, hasil negeri yang dikutip berjumlah RM1.5 bilion daripada sasaran anggaran hasil iaitu RM1.97 bilion.

“Dalam tempoh setengah tahun, Selangor mencapai 76 peratus sasaran hasil yang ditetapkan,” katanya kepada Selangor Kini.

Noordin berkata, kutipan hasil tertinggi dari premium tanah yang meningkat kepada RM725 juta berbanding RM466 juta tahun lalu.

Selain itu, katanya peningkatan juga didorong faktor lain, antaranya keuntungan pelaburan melalui surplus (lebihan) yang diletakkan dalam bentuk deposit di bank.

“Setakat ini, Selangor menjana RM49 juta dalam tempoh setengah tahun dan dijangka mampu menyaingi jumlah keseluruhan tahun lalu iaitu RM84 juta.

“Berbanding 2009, kita mencatat keuntungan pelaburan hanya RM20 juta sahaja. Dengan angka terbaru itu, maknanya keuntungan jadi berlipat kali ganda,” katanya.

– FZL

Leave a Reply

Your email address will not be published.