Categories
BERITA UTAMA

Tradisi baraan Kampung Harmoni tak hilang di arus kemodenan

Oleh: MOHD EZLI MASHUT

BARAAN, lain padang lain belalang, lain lubuk lain ikannya, lain tempat lain caranya dan mungkin di tempat lain namanya juga berbeza.

Kemeriahan Syawal di Kampung Harmoni di Bestari Jaya tidak bermakna dan berseri jika tradisi baraan dari rumah ke rumah tidak diadakan.

Sejak ia dimulakan pada 1973, tradisi baraan itu diteruskan sehingga hari ini yang sudah menjangkau lebih 42 tahun.

Di Kampung Harmoni, baraan dijalankan pada 2 Syawal dan bermula seawal jam 9.00 pagi sehingga selesai semua rumah dikunjungi yang turut disertai pimpinan kampung dan masjid.

Baraan2Jika dahulu hanya puluhan rumah, kini angka itu mencecah lebih 200 buah untuk dikunjungi ahli baraan yang setiap tahun dihadiri lebih 200 peserta.

Uniknya di sini, setiap peserta baraan perlu memakai Baju Melayu bersampin lengkap yang turut disertai pelbagai lapisan umur dari muda sehingga warga emas.

Baraan ialah istilah jawa yang bermaksud berjalan atau ziarah beramai-ramai dalam kumpulan pada hari raya.

Menurut orang tua di sini, dahulunya dalam era 70an hingga 80an, peserta baraan menaiki basikal berkunjung dari satu rumah ke rumah lain.

Malah, dahulu mereka merentasi baraan dari kampung ke kampung bersebelahan dan setiap kampung berziarah antara satu sama lain.

Kini, oleh kerana pertambahan rumah, baraan di Kampung Harmoni dipecahkan kepada empat kumpulan untuk memastikan ia dapat disiapkan dalam masa sehari dan seboleh-bolehnya sebelum menjelang Maghrib.

Ekoran banyak rumah untuk dikunjungi dalam sehari, kunjungan di sesebuah rumah memakan masa lima hingga 10 minit sahaja, bahkan mungkin lebih awal daripada itu.

BaraanBagi memastikan operasi baraan berjalan lancar, setiap kumpulan dibekalkan dengan alat Walkie Talkie supaya setiap rumah dimasuki dan melancarkan perjalanan.

Sebaik sahaja semua sudah memasuki rumah, pembaca doa yang dilantik membaca doa makan dan tahlil ringkas untuk ahli rumah serta diakhiri dengan berselawat beramai-ramai.

Kebiasaannya, setiap wakil tuan rumah turut serta dalam rombongan. Itu ‘syarat wajib’ atau sebenarnya sikap tanggungjawab dan tanda sepakat jika mahu rombongan baraan singgah ke rumah.

Namun, ia bukan keutamaan di sini kerana semua rumah penduduk dikunjungi termasuk menynatuni warga emas dan bertanya khabar.

Bagi penulis, mengikuti baraan setiap tahun sejak kecil bagaikan satu ‘kewajipan’ walaupun bekerja di luar kawasan.

Bagi memudahkan perjalanan untuk mengelilingi seluruh kampung, motosikal menjadi pilihan peserta baraan.

Deruman enjin motosikal walaupun membingitkan telinga, di samping dentuman mercun bola saling berbalas bagaikan mengiringi pergerakan rombongan.

Walaupun bahaya, keselamatan diutamakan dan ia juga kadang-kadang memecah kesunyian kampung setahun sekali.

Di kesempatan baraan itu juga, anak-anak kampung yang merantau dan bekerja di luar dapat bertemu setahun sekali.

Yang paling teruja dan memeriahkan suasana adalah kanak-kanak yang mendapat duit raya walaupun RM1. Jika ada 30 buah rumah yang memberi sudah pasti penuh kantung mereka.

Makanan yang disediakan tuan rumah ala kadar dan tidak perlu yang berat-berat. Sekadar apa yang ada.

Tahun ini, baraan dimulakan di Masjid Darul Ibadah peserta kembali semula ke masjid untuk solat berjemaah setiap kali tiba waktu solat dan kemudian meneruskan perjalanan.

Baraan di sini selalunya berakhir dengan semua kumpulan bergabung semula untuk pertemuan terakhir dan bacaan doa sebelum bersurai.

Kutipan derma untuk kebajikan juga diumumkan untuk program membantu golongan memerlukan di kampung.

Kepuasan sukar digambarkan ketika mengikut kumpulan baraan ini, bahkan tiada seri perayaan Aidilfitri tanpa acara yang menjadi rutin kampung ini setiap tahun.

Ia wajar diteruskan bukan sahaja di kampung ini, bahkan boleh diketengahkan di kawasan lain kerana acaranya yang unik dan peluang mengeratkan lagi hubungan penduduk setempat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.