Oleh: SYASYA SUFIAN
SHAH ALAM, 20 OGOS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjalankan operasi sepadu membersihkan kawasan PJS5 bagi menggalakkan orang ramai membayar cukai taksiran.
Ketua Operasinya, Key Iskandar Abdul Jalil, berkata 180 buah rumah dikenakan waran sejak April lalu tetapi sehingga kini masih tidak mahu menjelaskan cukai.
“Maklumat yang kami terima, antara sebab penduduk tidak mahu menyelesaikan pembayaran cukai kerana MBPJ tidak memberi perkhidmatan.
“Sebenarnya, kawasan perumahan kos rendah ini di bawah pentadbiran Badan Pengurusan Bersama (JMB). MBPJ tidak dibenarkan membuat sebarang baik pulih jalan, sapu sampah dan penangkapan anjing liar,” katanya.
Key Iskandar, berkata MBPJ hanya dibenarkan membuat sebarang baik pulih di luar kawasan perumahan.
“Oleh itu, MBPJ membawa kontraktor luar bersama lima jabatan yang dipertanggungjawabkan untuk baik pulih kawasan perumahan ini untuk operasi hari ini.
“Selepas selesai baik pulih, notis peringatan akan di ditampal kerana MBPJ akan mengadakan minggu operasi waran tahanan (sitaan) dan kempen bayar cukai taksiran, pada 22 hingga 24 Ogos ini,” katanya.
Orang ramai disaran membuat bayaran cukai taksiran dalam tepoh yang diberi.
Key Iskandar, berkata MBPJ turut menyediakan ‘easy pay’ untuk mengelakkan barang disita selain bagi memudahkan orang ramai, pada 22 Ogos ini.
-NFN-