Oleh : AFEEQA AFEERA
SHAH ALAM, 22 OGOS : Dianggarkan tidak kurang lima kampung Orang Asal di Kuala Langat dan Sepang akan diwarta Kerajaan Selangor dalam tempoh terdekat.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, berkata tindakan itu bagi mengekalkan hak milik Orang Asal dan tidak lagi dianggap menceroboh.
Katanya proses mewarta terpaksa mengambil masa panjang ekoran negeri itu memiliki jumlah kampung Orang Asal yang besar.
“Kita ada satu jawatankuasa iaitu Badan Bertindak Tanah Orang Asli Selangor yang diselaraskan untuk mengenalpasti serta mengukur keluasan tanah Orang Asal.
“Jadi, saya minta semua bersabar kerana kerja mengukur tanah bukan senang, mesti menggunakan teknologi terkini,” katanya pada Majlis Pelancaran Festival Kesenian Orang Asal Antarabangsa Selangor di Taman Botani Negara, dekat sini.
Elizabeth berkata setakat ini lebih 60 buah kampung Orang Asal sudah dikenalpasti dan sedang menunggu giliran untuk diwartawakan.
Katanya Kerajaan Negeri turut giat mengumpulkan data rizab Orang Asal untuk memastikan isu tanah di negeri itu dapat diselesaikan.
“Pada awal pentadbiran, kita tidak jangka banyak kampung Orang Asal belum diwartawakan.
“Terbaru, kita sudah mewartakan kira-kira 300 ekar tanah di Pulau Carey dan usaha ini akan diteruskan di perkampungan lain,” katanya.
EZY