Categories
NASIONAL

700 skuad AMK & peguam bantu lancarkan Bersih 4.0

Oleh : NAEEM RAFFI

PETALING JAYA, 25 OGOS: Angkatan Muda Keadilan (AMK) secara rasmi mengerahkan lebih 700 pasukan keselamatannya (Skuad) turun ke himpunan Bersih 4 pada 29 dan 30 ogos ini.

Ketua AMK Pusat, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Skuad berperanan memastikan perhimpunan dua hari satu malam itu berjalan lancar, aman dan selamat kepada semua pihak.

“AMK menyokong penuh himpunan Bersih 4 termasuk kesemua tuntutannya iaitu pilihan raya bersih, kerajaan bersih, hak membantah, mengukuhkan demokrasi berparlimen dan menyelamatkan ekonomi negara.

Skuad AMK“Atas keperluan memastikan perjalanan himpunan berlangsung aman, AMK mengerahkan Skuad yang telah menjalani latihan dan diberi taklimat berterusan tentang Bersih 4,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Ketua AMK, Tan Khar Hing dan Ketua Skuad, Rafizal Ahmad.

Rafizal yakin Skuad yang terlatih mampu menjamin himpunan berlangsung aman daripada pelbagai risiko keselamatan daripada provokasi.

“Skuad yakin kekuatan kami mampu memberi keselesaan kepada peserta himpunan.

“Mudah untuk mengenali kami, lihat sahaja baju rasmi berwarna hitam ini. Jumpa dan kami akan bantu sekiranya peserta ada masalah,” katanya.

Dalam kesempatan itu, AMK mengarahkan semua anggotanya menyertai Bersih 4 hujung minggu ini sama ada di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching.

Di Kuala Lumpur, AMK dijangka mula berhimpun di Sogo pada 2 petang (29 Ogos) sebelum berarak ke Dataran Merdeka bersama-sama peserta himpunan lain.

Selain Skuad, AMK turut mengerahkan barisan peguamnya untuk bertugas membantu pasukan guaman Bersih 4.

Selari dengan tuntutan Bersih 4, Nik Nazmi berkata AMK juga menuntut agar Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan ketika ini atas tuduhan fitnah dibebaskan serta merta dari penjara.

“AMK juga menyokong #langkahSiswa #OccupyParlimen dengan mahasiswa sudah mula berhimpun di bangunan Parlimen mengemukakan tuntutan kepada Perdana Menteri.

“AMK turut mengecam tindakan polis yang memanggil beberapa pemimpin AMK untuk siasatan berkenaan ‘Konvoi AMK- Bersih Merdeka’,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.