Categories
KENYATAAN MEDIA

ABIM: Gema merdeka rakyat

Oleh: AMIDI ABDUL MANAN

Tanggal 31 Ogos mempunyai erti yang tersendiri kepada rakyat Malaysia. Tanggal yang menandakan lahirnya sebuah negara yang berdiri diatas kerencaman kaum, agama, budaya dan keturunan.

Asas kehormatan bangsa bermula dengan perisytiharan kehormatan diri dengan penyataan al-Quran menggunakan istilah Bani Adam leluhur yang merujuk kepada semua manusia tanpa sebarang pengecualian.

Leluhur Adam ini berkembang dengan kerencaman filial demi filial namun Allah mengingatkan asal keturunan manusia walau berbeza dari sifat (fenotip) dan terdapat pesongan genotip adalah dari satu keturunan.

Maka penekanan ayat tersebut yang menggunakan istilah Bani Adam amat terkait dengan manusia dan kemanusiaan. Karamah insaniah bukan datang hanya dari genetiknya tetapi sejauh mana kita mempertahankan sifatnya.

Menyedari hal ini, rupa bentuk yang pelbagai adalah satu fitrah tetapi kemanusiaan adalah satu ciri universal bagi setiap keturunan Adam. Kemanusiaan terbina atas kebenaran dan keadilan.

Kebenaran dan keadilan perlu dipertahankan dengan dakwah. Tanpa dakwah kita akan hilang ciri kemanusiaan kita.

Maka marilah kita bangunkan negara kita, Malaysia dengan upaya dakwah. Upaya dakwah adalah sebaik-baik wahana pembinaan bangsa Malaysia. Dakwah yang mengutamakan kebenaran dan keadilan, dakwah yang bermatlamatkan perubahan adalah agenda kita bersama untuk kesejahteraan Malaysia.

Salam kemerdekaan, salam dakwah, salam kesejahteraan.

Sejahterakan Malaysia dengan Dakwah.

# Amidi Abdul Manan adalah Presiden ABIM

Leave a Reply

Your email address will not be published.