Categories
SELANGOR

Akta 757 pastikan bangunan diselenggara baik

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 16 OGOS: Pengenalan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) yang berkuatkuasa sejak Jun lalu dapat menyelesaikan masalah tunggakan yuran penyelenggaran kediaman.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata menerusinya pemilik mahupun penyewa kediaman tidak terlepas dari tindakan sekirannya gagal melunaskan yuran penyelenggaran kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB).

iskandar bangunan“Kita bersetuju dengan Akta 757 ini diantaranya penyewa yang gagal membayar yuran penyelenggaraan boleh diambil tindakan berbanding akta lama (Akta 663) yang hanya memberi penekanan kepada tuan rumah.

“Dengan Akta 757 ini, JMB boleh menuntut tunggakan yuran penyelenggaraan tuan rumah dan penyewa menerusi pemotongan duit sewaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Sambutan Aidilfitri di PPRT Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif lembaga Pengurusan Dan Hartanah Selangor (LPHS), Norzaton Aini Mohd Kassim dan Pengurus Besar Perumahan & Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB), Nazmi Osman.

Iskandar berkata pelaksanaan akta itu adalah sebahagian daripada usaha memastikan kediaman berada dalam kondisi penyelenggaraan baik.

“Kita tidak mahu penduduk merungut lif rosak sedangkan ia berlaku bukan kerana tidak diselenggara dengan baik sebaliknya JMB tidak mempunyai kewangan cukup ekoran tunggakan tinggi,” katanya.

Akta 757 yang berkuatkuasa sejak Jun lalu menggantikan Akta Bangunan Dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2007 (Akta 663) dan Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318) dengan elemen penambahbaikan terhadap kelemahan yang terdapat di dalam kedua-dua Akta tersebut.

Penubuhannya bertujuan meminimumkan permasalahan yang berlaku terhadap perlaksanaan Akta sedia ada.

“Menerusi Akta 663, kita berjaya membawa lebih 750 tuan rumah yang gagal melunaskan yuran penyelenggaran ke mahkamah. Namun, jumlah itu adalah sebahagian kecil yang mana sebahagian besar tunggakan yuran penyelenggaran direkodkan datang dari kediaman yang disewakan.

“Usaha menjejaki tuan rumah sebenar adalah sukar dan sebab itu Akta 757 dilihat lebih efektif kerana penyewa juga tidak terlepas daripada tindakan sekirannya gagal membayar,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.