Categories
NASIONAL

Anwar jadi ‘orang tengah’, Khalid & Saifuddin selesai luar mahkamah

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 OGOS: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menarik balik saman terhadap bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Perbincangan luar mahkamah selama dua jam bermula 9 pagi itu menyaksikan permohonan maaf dari kedua-dua pihak.

Perbincangan tertutup antara Khalid dan Saifuddin itu juga dihadiri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘orang tengah’.

anwarKhalid diwakili Edmund Bon, manakala Wiliam Leong yang juga Ahli Parlimen Selayang dari PKR mewakili Saifuddin.

Hadir sama, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Khalid memfailkan saman terhadap Saifuddin pada 18 Ogos 2014 berhubung pengedaran dokumen laporan ‘Keputusan Menggantikan Menteri Besar Selangor’, bertarikh 4 Ogos 2014 yang didakwa memfitnah beliau.

Dokumen itu dikeluarkan sebagai salah satu usaha PKR menjatuhkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor ketika itu yang mengaitkan beliau dengan penyelesaian hutang Bank Islam.

Pada 9 Januari lalu, Saifuddin yang kini Pengarah Pilihan Raya PKR memfailkan permohonan bagi mendapatkan daripada Abdul Khalid beberapa dokumen berkenaan penyelesaian hutang di luar mahkamah antara Abdul Khalid dan Bank Islam atas alasan dokumen itu penting untuk menyokong kes saman terhadap beliau.

Mahkamah pada 18 Februari lalu bagaimanapun menolak permohonan itu selepas mendapati permohonan yang difailkan Saifuddin tidak mempunyai merit.

Khalid diminta meletak jawatan Menteri Besar pada 21 September 2014 selepas melalui kemelut politik berpanjangan yang dimulakan melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang atau Langkah Kajang.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.