Oleh: AFEEQA AFEERA
SHAH ALAM, 28 OGOS: Kerajaan peralihan dijangka berlaku sebelum hujung tahun ini melalui kaedah demokrasi dengan penglibatan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, berkata ia bagi menyelamatkan negara dan memulihkan ekonomi yang kini berada di ambang kejatuhan.
“Melihat nilai ringgit yang menyusut dan kurangnya keyakinan pelabur akan menyebabkan hancurnya negara, sebab saya mengajak Ahli Parlimen BN bersama Pakatan Rakyat (Pakatan) untuk membawa perubahan.
“Pakatan ada 88 ahli parlimen, kita hanya memerlukan kira-kira 30. InsyaAllah sebelum hujung tahun akan berlaku perubahan dan ini dibenarkan dalam sistem demokrasi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Skim Khas Pembiayaan Pembelian Rumah Selangorku di Foyer Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), hari ini.
Terdahulu, Pakatan Rakyat (Pakatan) mencadangkan kepada parti komponennya untuk memperhalusi cadangan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam satu kenyataan bersama, mereka turut menyeru ahli Parlimen BN “yang sayangkan negara” supaya menyokong pembentukan kerajaan peralihan.
EZY