Categories
KENYATAAN MEDIA

BERSIH 4.0: Kita jumpa di Dataran Merdeka

Dua hari sahaja lagi sebelum rakyat Malaysia turun beramai-ramai ke jalanan Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu bagi menyatakan desakan terhadap lima tuntutan perhimpunan aman Bersih 4: Pilihanraya Bersih, Kerajaan Bersih, Kukuhkan Demokrasi Berparlimen, Hak Membantah dan Selamatkan Ekonomi Negara.

Di Kuala Lumpur, kita akan bertemu pada jam 2 petang di lima tempat: Masjid Negara, Brickfields, Pasar Seni, Menara Maybank dan di hadapan kompleks Sogo; sebelum berjalan menuju ke kawasan sekitar Dataran Merdeka.

Kita tidak akan melampaui halangan-halangan yang telah diletakkan oleh pihak polis, dan kita tidak akan masuk ke Dataran Merdeka bagi menghormati majlis raptai dan persiapan menyambut Hari Merdeka.

BERSIH 2.0 telah dimaklumkan bahawa jalanraya yang ditutup bagi majlis raptai sambutan Hari Merdeka hanya ditutup pada waktu-waktu tertentu yang tidak melibatkan jangka masa perhimpunan Bersih 4 berjalan. Hal ini juga sudah disahkan oleh pihak polis.

BERSIH 4Bermula jam 2 petang 29 Ogos, sehingga 11:59 malam 30 Ogos, pihak penganjur Bersih 4 telah menyusun beberapa acara di beberapa pentas yang diletakkan di kawasan-kawasan strategik sekitar Dataran Merdeka. Ini termasuklah acara kebudayaan, ucapan, syarahan awam, bacaan puisi dan acara kerohanian termasuk solat hajat yang akan dikendalikan oleh rakan-rakan dari ABIM dan IKRAM.

Kita akan mengakhiri acara perhimpunan aman 34 jam ini dengan laungan Merdeka tepat tengah malam 31 Ogos, dan semua peserta mesti bersurai.

Di Kota Kinabalu, tempat berkumpul pada jam 2 petang ditetapkan di tapak letak kereta Sabah Trade Center (Likas Square) dan para peserta himpunan akan berarak ke tapak perhimpunan 34 jam di Tanjung Lipat Public Park. Di Kuching, peserta akan berkumpul di Padang Jubilee dan Pelita Car Park.

Acara Global Bersih di lebih 60 bandar utama seluruh dunia akan berjalan pada tarikh dan masa yang sama mengikut zon waktu masing-masing.
Arahan Am: Keselamatan, Perubatan & Urgent Arrest

BERSIH 2.0 secara tegas melarang peserta daripada membawa senjata dan bahan letupan, termasuklah mercun, flare dan bom asap. Kami juga tidak menggalakkan ibu bapa membawa kanak-kanak di bawah umur ke perhimpunan Bersih 4.

Sekiranya tidak ada pilihan lain selain membawa anak-anak ke tapak perhimpunan, kami berharap ibu bapa dapat menjaga kebajikan dan keselamatan anak-anak mereka serta bertindak secara bertanggungjawab.

Kami juga secara tegas mengecam dan melarang sebarang tindakan vandalisme terhadap harta awam, selain menegah para peserta daripada terlibat dalam sebarang aktiviti ganas atau melayan sebarang provokasi daripada mana-mana pihak. Sila maklumkan sebarang provokasi kepada pihak keselamatan atau terus kepada pihak polis.

Pasukan bantuan kecemasan akan berada di kawasan-kawasan strategik dan siap sedia dengan ambulan masing-masing sekiranya keadaan memerlukan sesiapa dievakuasi dari tapak perhimpunan akibat sebarang kecederaan atau masalah kesihatan.

Sekiranya memerlukan khidmat pasukan medik, sila hantarkan SMS dengan maklumat lokasi, bangunan/landmark terdekat dan maklumat kejadian ke nombor: 011-123-77118 atau 013-203-6911.

Sekiranya ditangkap, sila bertenang dan hubungi pasukan ‘urgent arrest’ menggunakan SMS dengan memberikan nama, nombor kad pengenalan dan lokasi balai polis ke nombor: 018-3160-214 atau 018-3907-780 atau 018-3135-988.

Majlis Peguam dan Pusat Bantuan Peguam turut menyediakan khidmat sekiranya anda ditangkap, dan mereka boleh dihubungi di 018-3211-506 atau 011-1214-0877.

BERSIH 2.0 mengajak seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira latar politik, agama dan keturunan untuk sama-sama hadir dalam perhimpunan yang penuh sejarah ini.

Secara khususnya kami menjemput para penyokong parti pemerintah, terutamanya dari Umno serta penjawat awam terutamanya pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bersama-sama rakyat biasa bagi mendesak perubahan demi negara yang sama-sama kita cintai.

BERSIH 2.0 setakat ini telah menerima sumbangan derma berjumlah lebih RM2 juta. Alangkah baiknya jika nilai derma itu turut dicerminkan dengan jumlah penyertaan rakyat Malaysia pada hujung minggu ini bagi mendesak penambahbaikan kearah mengukuhkan institusi demokrasi berparlimen demi memastikan sistem kerajaan, pilihanraya dan demokrasi seluruhnya berjalan dengan bersih, demi menyelamatkan ekonomi dan kemakmuran rakyat negara ini.

Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0

Leave a Reply

Your email address will not be published.