Oleh: AFIX REDZUAN
SUBANG JAYA, 26 OGOS: Burung pungguk atau lebih sinonim dipanggil burung hantu bakal digunakan bagi mengawal populasi tikus di sekitar Subang Jaya.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata inisiatif baru itu diadaptasi daripada kitaran semula jadi hidupan seperti yang berlaku di sawah padi dan ladang kelapa sawit.
“Projek perintis selama enam bulan bakal menempatkan 12 pasang burung pungguk bagi menguji keberkesanan sistem itu yang akan bermula, pada September ini.
“Selain bertindak sebagai pemangsa, spesis itu dipilih memandangkan ia tidak liar dan menganggu masyarakat setempat berbanding burung gagak dan merpati,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSJ, di sini, hari ini.
Nor Hisham, berkata MPSJ bekerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Perhilitan bagi memastikan burung pungguk ditempatkan sesuai dengan habitat serta persekitaran hutan batu.
“Untuk peringkat awal, burung pungguk berkenaan akan diberi makan daging tikus supaya serasi dengan bau haiwan berkenaan. Kita juga akan tengok perkembangan pembiakan dan jarak masa burung pungguk mencari tikus untuk dimakan,” katanya.
Kos projek itu dianggarkan RM200,000 bagi tempoh dua tahun dan inisiatif terbabit berjaya dilakukakan di negara luar seperti Afrika Selatan dan Amerika Syarikat.
-NR-