Categories
SELANGOR

Exco: 747,000 benih ikan air tawar RM400,000 dilepaskan sejak 2012

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SABAK BERNAM, 24 OGOS: Bagi memastikan bekalan ikan air tawar terjamin dan ekosistem sungai, tasik dan takungan umum di Selangor terpelihara, Kerajaan Negeri melepaskan 747,000 benih ikan air tawar dengan nilai RM400,000 sejak 2012.

Exco Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, langkah ini juga dapat menambah pendapatan sampingan penduduk terlibat khususnya bagi nelayan ikan air tawar.

Pelepasan benih ikan dan pertandingan memancing YB Zaidy (ASRI)“Hingga kini, Kerajaan Negeri belum lagi melaksanakan program bantuan kepada nelayan sungai seperti diberikan kepada nelayan pantai, namun begitu Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perikanan Negeri Selangor melepaskan sejumlah 747,700 benih ikan di sungai, tasik dan takungan umum melibatkan peruntukan sejumlah hampir RM400,000.00.

“Tujuan pelepasan benih ikan untuk meningkatkan lagi spesis ikan sungai dengan kita mengharapkan benih itu membesar dan membiak dengan banyak dan secara tidak langsung dapat dijadikan sebagai pendapatan sampingan kepada penduduk di kawasan ini khususnya nelayan sungai,” kata Zaidy.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program melepaskan 10,000 benih ikan dengan nilai RM7,000 di Parit 4 dan Parit 10, Sungai Panjang, di sini, semalam.

Jelas beliau, pelepasan benih ikan di Selangor melibatkan spesis ikan sepat, haruan, puyu, lampam, patin, roho, keli dan baung.

Zaidy menambah, berbanding daerah lain di Selangor, Sabak Bernam mempunyai jumlah nelayan sungai berdaftar paling ramai iaitu seramai 25 orang berbanding 50 orang bagi seluruh Selangor.

Terdahulu dalam pertandingan memancing tradisional yang diadakan di Parit 12 yang dilangsungkan pada sebelah pagi mendapat sambutan menggalakkan apabila berjaya mencatat seramai 784 orang perserta.

Pertandingan itu menawarkan hadiah sebuah motorsikal, wang tunai berjumlah RM3,250 dan hamper itu terbuka kepada seluruh penduduk Sabak Bernam.

“Pada pertandingan memancing ikan tradisional itu yang hanya boleh menggunakan joran tradisional sahaja dengan tali pancing tanpa menggunakan mesin atau reel memancing dengan sasaran penyertaan seramai 500 peserta, namun yang hadir melebihi 784 peserta,” kata Zaidy lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.