Categories
SENI

Hadiah Sastera Selangor Kini dan cebisan kenangan yang tercantum

 

Oleh Fazallah Pit
“Tidak ada akhbar yang tidak ada halaman sastera.”

Entah siapa yang menyebutnya, saya tidak ingat. Yang pasti,
ungkapan itu terdengarkan pada hari-hari awal karier kewartawanan, kira-kira 18 tahun lalu.

Dan kata-kata itu begitu likat dalam ingatan, begitu mengesankan lalu menjadi pegangan utuh sepanjang perjalanan karier.

Sejak meninggalkan Berita Harian, bermula dari Suara Keadilan hingga Selangor Kini, halaman seni dan budaya, sedaya upaya dihidupkan walaupun rintangannya bukan sedikit.

Sesekali, ada sahaja unsur politik kekuasaan mengatasi kudrat keinginan.

* * *

“Apa kata kita wujudkan sayembara cerpen dan sajak dalam Selangor Kini? Kemudian, karya pemenang kita bukukan.

“Wah bestnya. Tapi, agak-agak orang atasan setuju tak?” Wajah Sub Editor, Rusidah Salim yang berpengalaman luas dalam penyuntingan novel kreatif seakan-akan bercahaya.

“Entah, nanti saya mengendeng depa. Logiknya, Kerajaan Selangor tak ada kekangan kewangan. Duit ada, bukan masalah. Soal mahu atau tidak sahaja. Dan ini bukan suatu pembaziran, bahkan keperluan.”

Perbualan itu tergantung begitu sahaja berikutan pentadbiran ketika itu tidak berminat apabila cadangan itu diaju secara lisan.

Maka, kertas kerja cadangan yang separa siap, kekal tergelatak dalam skrin komputer, kalau tak silap lebih setahun lamanya.

****

sas11913507_873234179435143_3395578923323640237_n

Hadiah Sastera SelangorKini (HSSK) diilhamkan Jawatankuasa Tetap Negeri Selangor dengan kerjasama pengurusan SelangorKini.

Ia sebagai penghargaan kepada penulis yang berkarya di akhbar rasmi Kerajaan Selangor antara Disember 2014 hingga Oktober 2015.

Penghargaan itu juga sebagai dorongan kepada penulis untuk menghasilkan karya berkualiti sekaligus menjadi khazanah bangsa
dan negara.

“Inisiatif ini direncanakan bertujuan untuk menawarkan tulisan bernilai sastera dan mempunyai kandungan pemikiran bermutu kepada rakyat Selangor saban minggu,” kata Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Selangor, Amirudin Shari.

Halaman ini membuka peluang kepada penulis muda mahupun mapan, dalam mahupun luar Selangor untuk giat berkarya, baik genre cerpen mahupun puisi dan esei.

Ia mendapat sambutan menggalakkan, apatah lagi beberapa pemenang hadiah sastera peringkat nasional turut sama menyumbangkan karya.

Antaranya ialah Roslan Jomel, Raihani Mohd Saaid dan Ainunl Muaiyanah
Sulaiman.

Tidak ketinggalan novelis indie berbakat, Ridhwan Saidi yang popular dengan novel Amerika dan Stereo Genmai.

Penulis mapan seperti Daeng Ramliakil dan Ami Masra juga memeriahkan halaman ini, malah diserikan penulis dari kelompok
siber.

Antaranya, Al-Abror Mohd Yusuf yang pernah dinobat sebagai Sasterawan Alam Siber, selain Najmuddin Yusoff dan Rimanilzah.

Penulis muda paling ramai mengirimi karya, antaranya Asyraf Bakti, Karl Agan, Hadi Jaafar, Johan Radzi, Ismail Suhadi dan Syafiq Ghazali.

Kemuncak acara, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dijangka menyampaikan hadiah kepada pemenang dalam majlis yang dijadual Disember ini.

Penilaian karya bakal dilakukan beberapa pihak di luar editorial SelangorKini yang pakar dalam bidang masing-masing. Kemudian, semua karya pemenang – cerpen, sajak dan esei akan dibukukan. Insya-Allah.

HADIAH-SASTERA-3

* * *

“Hang free tak?” Kedengaran suara dari corong telefon bimbit di meja sama tempat mengeteh bersama Rusidah lebih setahun lalu.

Free la juga. Kenapa?” Gelas teh tarik yang mahu dihirup ketagihannya diletakkan kembali ke meja. Ada kehairanan menerpa. Ada tertanya-tanya bersarang.

“Waibi nak jumpa. Ada hal penting,” kata seorang pegawai kepada Amirudin lewat panggilan telefon pada suatu petang yang redup.

Petang itu juga, saya meredah hujan renyai menaiki vespa merah ke pejabat di Bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor menemui Amirudin yang juga Adun Batu Caves itu.

Kami bertemu mesra. Turut sama ialah pegawainya, Ammar Ghazali yang akrab dengan dunia penulisan dan diskusi ilmu. Pelbagai rancangan direncana. Kata sepakat dicapai mudah – lebih mudah daripada menyebut A-B-C.

“Saya mohonlah kerjasama SelangorKini untuk adakan halaman seni. Siarkanlah cerpen atau sajak. Dan kita akan sediakan anugerah sastera pada akhir tahun kelak.”

Kata-kata Amirudin itu masih terngiang-ngiang.

yb amir poster 2

Bagai pucuk dicita ulam mendatang, saya pantas menyetujuinya. Siapa tak mahu? Belum minta, belumpun serah kertas kerja, sudah dapat!

Kemudian, seberapa segera berurusan dengan Pemerbadanan Menteri Besar MBI) khususnya soal honorarium dan hal-hal lain.

Maka sejak itu, lahirlah halaman seni yang kalian tatap ini.

Juga HSSK yang mungkin milik anda.

 

* Penulis  ialah Ketua Pengarang SelangorKini. Esei ini tidak dinilai untuk HSSK. 

Leave a Reply

Your email address will not be published.