Oleh: Marwan Abdullah
IKRAM Siswa menyatakan rasa penuh kekesalan dengan insiden penahanan yang dibuat oleh pihak berkuasa terhadap 17 orang aktivis mahasiswa yang sedang mengikuti Perhimpunan #LangkahSiswa anjuran Gerakan Mahasiswa Selamatkan Negara semalam, 25 Ogos 2015 di hadapan Parlimen Malaysia.
IKRAM Siswa dengan tegas berpandangan bahawa setiap warganegara Malaysia termasuklah mahasiswa mempunyai hak bersuara dan berhimpun secara aman yang dijamin oleh Perlembagaan Negara dan Kedaulatan Undang-Undang.
IKRAM Siswa juga telah sedia maklum bahawa sepanjang Perhimpunan #LangkahSiswa itu berlangsung, tiada sebarang laporan berkenaan unsur kekerasan dan keganasan yang timbul sekaligus menimbulkan persoalan terhadap kesahan dan motif penahanan yang dibuat oleh pihak berkuatkuasa terhadap para demonstran.
Seterusnya IKRAM Siswa mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua aktivis mahasiswa yang telah berani turun padang menyatakan pandangan mahasiswa terhadap isu-isu semasa yang melibatkan Perdana Menteri baru-baru ini dengan penuh rasa bertanggungjawab dan demokratik. IKRAM Siswa akan tetap komited untuk bersama-sama memastikan kebebasan mahasiswa untuk bersuara diiktiraf negara.
Berdasarkan maklumat yang terkini, IKRAM Siswa difahamkan bahawa semua tahanan telah didakwa di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 (1) Akta Perhimpunan Aman serta ditahan reman selama tiga hari.
IKRAM Siswa memohon jasa baik pihak berkuatkuasa untuk menggunakan akal dan naluri kemanusiaannya untuk menarik semula dakwaan yang tidak adil ini.
IKRAM Siswa menyeru semua aktivis mahasiswa untuk terus tidak serik untuk bangkit menyatakan pandangan masing-masing tanpa rasa takut atau bimbang demi kemaslahatan rakyat dan negara.
IKRAM Siswa juga menyeru para aktivis mahasiswa untuk bijak menggunakan kepelbagaian medium dan ruang demokrasi yang ada dalam menyampaikan suara mahasiswa dengan lebih berkesan demi keadilan dan keharmonian negara.
* Marwan Abdullah adalah Presiden IKRAM Siswa