Categories
SELANGOR

Kerajaan Persekutuan tak mampu laksana FOI?

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 19 OGOS: Pendirian Kerajaan Persekutuan yang tidak bersedia melaksana Akta Kebebasan Maklumat (FOI) dikritik Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT).

Pengerusinya, Hannah Yeoh berkata alasan diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low terhadap pelaksanaan akta itu juga tidak munasabah.

Ini kerana, Selangor dan Pulau Pinang mampu melaksanakan FOI biarpun berdepan kekangan dari aspek sumber dan kewangan berbanding Kerajaan Persekutuan.

“Pada saya, tiada masalah kerana semua itu boleh dilaksana sekirannya ada kesungguhan, masa dan latihan.

“Walaupun kita luluskan FOI Selangor pada 2011, kita mengambil masa setahun dua untuk melatih pegawai maklumat dan kemudian ia dilaksanakan.

“Kalau Selangor dan Pulau Pinang boleh laksana, mengapa Kerajaan Persekutuan dengan kabinet, sumber dan kewangan yang besar beri pelbagai alasan tidak munasabah hanya kerana tidak mahu melaksanakan FOI,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Lobi Dewan Annex di sini, hari ini.

Semalam, Low menegaskan FOI tidak memberi manfaat kepada Malaysia selain ia melibatkan insfrastruktur dan sumber tenaga kerja yang ramai dalam pelaksanaan akta tersebut.

Menteri itu juga mendakwa masyarakat belum bersedia mengendalikan maklumat dengan bertanggungjawab sekiranya mereka diberi akses yang luas kepada set data kerajaan.

Mengambil contoh Laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan di Parlimen tiga kali setahun, Low mendakwa masyarakat seolah-olah memberi tumpuan untuk mengutuk kerajaan atas apa jua kekurangan yang diserlahkan.

“Di Selangor, kita hanya perlu 41 pegawai maklumat setakat ini walapun Kerajaan Persekutuan beri kenyataan bahawa mereka memerlukan lebih 300 pegawai maklumat untuk tujuan sama.

“Walaupun kita menerima banyak kritikan untuk pembaikan FOI ini, SELCAT adakan pendengaran awam pada Januari lalu dan kemudiannya membentangkan penyata penambahbaikan FOI pada April dan semalam Kerajaan membentangkan maklum balas mereka berhubung perkara ini,” katanya.

Dalam penambahbaikan FOI, SELCAT juga mencadangkan seorang exco dilantik memimpin portfolio FOI dan Kerajaan melantik Elizabeth Wong (PKR-Bukit Lanjan).

Selain itu, SELCAT juga mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk mewajibkan semua perjanjian dengan mana-mana pihak perlu disertakan dengan klausa bersetuju dengan FOI.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.