Categories
SENI

Kolaj, surat dan emosi yang terselit di antaranya

Oleh Najmuddin Yusoff

Seawal usia enam tahun, Nurul Hana dipisahkan dari kasih sayang papanya – Datuk Seri Anwar Ibrahim selama enam tahun. Sedangkan usia itu paling kritikal buat seorang anak gadis untuk mengenali papanya.

Tentunya Hana tetap belajar mengenali papanya tetapi dengan cara yang jauh berbeza dari kita – yang sentiasa pulang kepada ibu bapa sehabis persekolahan harian, yang sentiasa ada untuk berbual sebelum tidur.

Sebaliknya, Hana kenal papanya melalui surat-surat dari penjara. Mesej ringkas yang seolah-olah ditulis seperti sajak menyerlahkan sisi Anwar yang mungkin sangat peribadi.

Masihkah hari ini ada orang yang memerhatikan tulisan yang cantik, yang menjadi tanda peribadi seseorang pada era surat kian pupus dan diganti mesej elektronik?

fe50645e283c4a3f5c2d298104be2493My darling Hana,
Sekolah sudah bermula,
Hana harus rajin membaca.
Jangan tunggu lama-lama,
Nanti mudah terlupa.
Tonton TV sekejap saja,
Jangan sampai tinggal kerja.
Selalu senyum dan rajin baca,
Itulah Hana yang bijaksana.

Love, Papa

Ia comel. Ia manis. Itulah yang menjadikan surat-surat itu meruntun jiwa dilihat dari sudut manusiawi. Betapa Anwar seorang bapa dan Hana, kanak-kanak yang dipisahkan secara kejam.

Hana juga kenal papanya melalui media. Itulah yang menghubungkan Hana, papanya dan dunia sekitar mereka. Hana, papa dan dunia itu kemudian dicantumkan secara mikro dalam kolaj-kolaj yang penuh emosi. Dan pelekatnya dari air mata.

Buku My Dear Papa (edisi BM – Sayang Buat Papa) terbitan Gerakbudaya Enterprise, membawa kita seolah-olah berada di luar sebuah bilik cermin.

Dalam bilik cermin itu ada Hana, ada keratan surat khabar, ada gunting dan dakwat. Dakwat yang banyak tumpah di lantai adalah merah. Atau sebenarnya darah?

Pada dinding cermin, terlukis emosi yang bermacam ragam. Sedih, marah, cinta, rindu.

Kita boleh melihat tapi tidak dapat menangkap emosi itu secara benar kerana walau ia kuat, tetap terhalang oleh cermin. Juga takut menoleh ke kiri, kanan atau belakang, kerana risau akan menemui bukan seorang Hana, tapi ada lagi Hana-Hana lain.

Bayangkan, kenapa imej polis yang bengis perlu wujud dalam hidup seorang anak berusia enam tahun? Kenapa polis yang sepatutnya menjadi penjaga keselamatan, memecah masuk rumah Hana. Apa salah Hana? Bagaimana mahu menggambarkan emosi itu?

Jadi, Hana menggunakan bakatnya. Dengan bakat seni, kita berpeluang melihat keluarga Anwar melalui perspektif berbeza.

Hana memilih saat ini – saat bapanya sekali lagi dikurung. Tentunya ia terlahir dari rasa mahu berkongsi, tak tertahan dan tidak boleh berdiam diri lagi. Kezaliman, penganiayaan dan pencabulan berleluasa terhadap kuasa, negara dan rakyat perlu dihentikan.

Dari bilik cermin, Hana sedang memanggil kita sebenarnya. Mungkin kita tidak mendengar suaranya. Tapi kolaj-kolaj itu cukup kuat menyampaikan mesejnya.  Butalah kita jika tidak mahu melihat dan memahami.

Jangan biarkan Hana sendirian.

Leave a Reply

Your email address will not be published.