Categories
SELANGOR

Kompaun denggi gagal sedarkan masyarakat

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 OGOS: Tindakan mengenakan kompaun kurang memberi kesan kepada pengurangan bagi kes denggi di Selangor ekoran kesedaran masih rendah di kalangan masyarakat.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata sehingga 31 Julai, jumlah kompaun dikeluarkan kepada rumah, tapak bina, kedai, rumah ibadat, kawasan komersial dan industri sebanyak 848 iaitu bernilai RM317,750.

DENGGI GRAFIK“Ketika ini, kompaun dikenakan sebanyak RM500. Namun, ia tidak memberi kesan kerana masyarakat masih mengamalkan sikap tidak ambil peduli,” katanya menjawab pertanyaan Halimaton Saadiah (BN-Kota Damansara).

Daroyah berkata beberapa strategi baru dalam memerangi wabak itu bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Antaranya, Kerajaan Negeri menggunakan kawalan biologi bagi mengawal pembiakan nyamuk aedes, majlis pelancaran Tapak Bina Sifar Aedes yang membabitkan semua pemaju di negeri ini.

“Silibus pendidikan kesihatan kepada murid tadika dan sekolah Selangor diberikan.

“Pelan Tindakan Strategi Sifar Pembiakan Aedes dilancarkan pada September depan,” katanya.

Mengikut statistik sehingga 8 Ogos lalu, sebanyak 1,336 kes dicatatkan dan menjadikan kumulatif kes bagi tahun ini sebanyak 41,223 kes.

Manakala kumulatif bagi kematian adalah sebanyak 93 kes.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.