Categories
NASIONAL

Mat Kilau, Tok Gajah bukan Umno, adakah mereka juga ‘bangsat’?

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 24 OGOS: Seorang Perdana Menteri tidak wajar menggelar Melayu ‘bangsat’hanya kerana tidak mahu memberi sokongan kepada Umno, kata Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

Beliau berkata bangsa Melayu sudah wujud sekian lama, sementara Umno adalah parti baru yang ditubuhkan selepas mengambil alih pemerintahan negara.

“Kalau dia (Datuk Seri Najib Razak) kata Melayu bangsat, maknanya bapa dan datuk dia juga terbangsat kerana pada ketika itu Umno belum wujud lagi.

“Pahlawan Melayu seperti Mat Kilau, Tok Gajah bukan orang Umno, jadi adakah mereka juga bangsat?

umno-retak“Melayu ada di Singapura, Thailand, Sri Lanka dan negara lain, mereka tiada parti Umno, itu bangsat juga ke?” katanya kepada Selangor Kini.

Johari berkata tindakan Najib yang menyamakan Melayu dengan Umno tidak boleh digunapakai kerana bangsa itu sendiri mundur sepanjang berada di bawah pentadbiran parti itu.

Justeru, katanya adalah lebih baik sekiranya bangsa Melayu itu menjadi Islam sebenar dengan mengamalkan ajaran agama, bebas rasuah dan tidak menipu rakyat.

“Itu lebih penting kerana apabila kita mati kelak, kita tidak akan ditanya nombor keahlian Umno atau parti apa yang disokong.

“Jangan dipolitikkan isu begini kerana apa bangsa sekalipun kita adalah rakyat Malaysia, tidak perlu keluarkan kenyataan yang menjatuhkan Melayu sendiri,” katanya.

Terdahulu, Najib semasa berucap pada mesyuarat perwakilan Umno di Perlis, berkata orang Melayu Islam akan terbangsat jika Umno tidak lagi memerintah negara.

Presiden Umno itu berkata beliau memilih perkataan bangsat kerana tiada perkataan lain yang boleh menggambarkan keadaan Melayu yang cukup tertekan jika Umno hilang kuasa.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.