Oleh: HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM, 31 OGOS: Semangat patriotisme yang dimiliki generasi dahulu harus diwarisi golongan muda masa kini dalam mempertahankan kemerdekaan negara, kata Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.
Mohamed Azmin, berkata kalangan pejuang zaman lampau nyata mempunyai semangat patriotisme tinggi demi membebaskan tanahair daripada cengkaman penjajah asing.
“Kita harus mengambil kesempatan daripada sambutan kemerdekaan tahun ini untuk mengulangi ikrar dan tekad sebagai rakyat bermaruah untuk memperbaharui semangat patriotisme terhadap negara.
“Patriotisme bukan hanya slogan dan simbol tetapi semangat yang mencetuskan pengaruh kuat terhadap tingkah laku manusia untuk mempertahankan kedaulatan negara dan mensejahterakan rakyat,” katanya sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-58 negara, di sini, semalam.
Beliau berkata, perjuangan membebaskan negara daripada penjajahan kuasa asing bermula dari zaman Kesultanan Melayu Melaka sehingga Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Mat Kilau (Pahang), Mat Salleh (Sarawak), Tok Janggut (Kelantan) dan Raja Haji (Selangor).
Katanya, sejarah tidak boleh dipadamkan apabila Dr Burhanuddin Helmi bersama Tan Cheng Lock bekerjasama dengan semua kaum, petani, peniaga dan ulama membentuk All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA) untuk menentang penjajah.
“Nenek moyang kita sehati sejiwa sehingga berjaya menurunkan bendera Union Jack untuk digantikan dengan Jalur Gemilang yang berkibar megah sehingga hari ini.
“Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan atas sumbangan besar pejuang kemerdekaan khususnya anggota keselamatan termasuk tentera dan polis sehingga ada dalam kalangan mereka terkorban demi mempertahankan maruah serta kedaulatan negara,” katanya.
Katanya, sejarah kebangkitan bangsa daripada belenggu penjajahan bagi membentuk negara yang bebas merdeka memperlihatkan perjuangan penuh dengan semangat patriotisme ditunjukkan generasi terdahulu sehingga sanggup berkorban nyawa.
-NFN-