SHAH ALAM 23 OGOS: Tamat saingan Liga Super 2015, Selangor gagal muncul juara mahupun menyamai pencapaian selaku naib juara musim lalu apabila menamatkan saingan musim ini di tempat ketiga di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pahang.
Namun bagi jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic, beliau tetap gembira dengan pencapaian dalam saingan liga musim ini yang ditutup dengan kemenangan 2-0 ke atas Perak di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi lapor laman sesawang FAS.
“Saya cukup gembira dengan persembahan pasukan pada perlawanan ini. Pemain beraksi sangat baik, mereka berjaya mengawal permainan dan bukan mudah untuk mencatat kemenangan di Ipoh ini.
“Jadi saya ucapkan tahniah kepada semua pemain dan barisan kejurulatihan. Kami dah buat yang terbaik musim ini.
“Bukan mudah untuk menyaingi JDT yang memiliki pemain terbaik dan Pahang yang sudah lama beraksi bersama sebagai satu pasukan,” kata Durakovic selepas perlawanan.
Selepas ini, Selangor bakal meneruskan cabaran dalam saingan Piala Malaysia bermula 11 September ini dan Durakovic dengan yakin menyatakan pasukannya mampu melakukan yang terbaik.
“Kami akan cuba yang terbaik dan meneruskan rentak permainan baik dalam beberapa perlawanan terakhir liga ini.
“Saya cukup yakin yang kami akan melakukan terbaik pada kempen Piala Malaysia nanti. Apa pun ia bukan tugas mudah dan bergantung juga kepada keputusan undian pada 27 Ogos ini,” jelasnya.
EZY