Categories
BERITA UTAMA

Melayu bangsat Melayu merdeka

Oleh: KHAIRUL NAIM RAFIDI

“Saya pilih perkataan orang Melayu akan terbangsat kalau UMNO hilang kuasa. Terbangsat…tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan untung nasib yang cukup tertekan, hilang segala-galanya, hilang kuasa, hilang maruah dan hilang masa depan.” – Najib Razak, 23 Ogos 2015

Perdana Menteri kini benar-benar terdesak apabila terpaksa menjual retorik kuno yang sudah sekian lama digunakan sebagai alat bagimenakut-nakutkan orang Melayu.

Jika mengikut mantiq Dato’ Seri Najib Razak, saya juga antara Melayu terbangsat. Saya rakyat di negeri Selangor, di negeri Selangor, Umno tidak lagi berkuasa. Maka, berdasarkan logik beliau, boleh saya katakan Melayu Selangor memang bangsat.

najib-shahrizatSelepas 58 tahun merdeka, retorik yang menghina ini masih lagi dimainkan oleh Najib Razak. Najib seolah-olah memperlekeh dan memperkotak-katikkan kedudukan orang Melayu.

Najib merasakan bahawa kelangsungan hidup orang Melayu hanya ditentukan dengan keberadaan Umno. Saya tidak pasti sama ada ini budaya Umno atau apa kerana bukan tugas saya untuk mengulas.

Tetapi, masih ingatkah pembaca dengan contoh klasik, “orang Melayu nak buat jarum sebarang pun tak pandai ada hati nak merdeka.?” Ini bukti strategi ini sudah lama dimainkan.

Dalam politik, strategi seperti ini sudah lapuk tetapi masih efektik bagi mempertahankan kerusi empuk pemerintah, konsep ini dinamakan kebergantungan kepada kerajaan (Government Dependency).

Terdapat beberapa langkah untuk Melayu bangsat, terus berjaya walaupun tiada Umno atau mana-mana parti politik.

Revolusi akar umbi.

Parti politik akan terus menjadi parti politik. Parti politik akan terus bertelagah bagi merebut kerusi untuk menguruskan hasil dalam negeri ini.

Justeru, sebagai rakyat terbangsat, permainan parti politik tidak sepatutnya dipedulikan lagi. Revolusi akar umbi harus dijalankan. (Grassroots Revolution)

Revolusi akar umbi adalah satu keadaan apabila komuniti bekerja dan membantu sesama sendiri. Komuniti-komuniti kecil dalam masyarakat harus digerakkan untuk menjaga kebajikan masyarakat setempat.

rakyat GSTKonsep “jaga tepi kain” harus dimulakan dengan mengambil berat terhadap masyarakat sekeliling.

Dana melalui tabung dan poket orang kaya harus dikumpulkan bagi memastikan revolusi akar umbi tercapai. Selain itu, ekonomi setempat harus digerakkan bagi menjana pendapatan seterusnya membantu golongan susah dalam masyarakat.

Dalam pendidikan, misalnya kita dapat lihat banyak organisasi dan kolektif seperti Teach for the needs, Teach for Raub, Tuisyen Sayang, Projek Tuisyen Ummah dan lain-lain.

Mereka ini dapat membantu proses mempercepat revolusi akan umbi. Dana yang dijana oleh komuniti boleh digunakan untuk menanggung kos gerak kerja organisasi seperti ini.

Anak muda dan mahasiswa harus terlibat secara langsung (direct) dapat proses revolusi akar umbi di kawasan masing-masing.

Selain pendidikan, hal-hal lain seperti dana untuk kebajikan masyarakat, infrastruktur yang ringkas, harus dilakukan sendiri oleh masyarakat.

Tindakan ini sama seperti zaman dahulu, sebelum penubuhan Umno bila mana orang Melayu berdikari dan bergerak sendiri tanpa bantuan mana-mana parti politik. Jika ikut sifir Najib Razak, Melayu zaman itu memang bangsat.

Jangan rendah diri

Masyarakat khususnya orang Melayu harus berdikari dan mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan sedikit demi sedikit.

Tun Musa Hitam,dalam satu wawancara bertarikh 13 Mac 2013 di Astro Awani pernah menyebut bahawa orang Melayu harus mempunyai semangat juang yang tinggi dan jangan bergantung lagi kepada kerajaan.

Selain itu, beliau juga menegaskan bahawa orang Melayu harus mengikis sikap dan mentaliti bergantung kepada kerajaan untuk maju ke hadapan. Jika tidak, orang Melayu akan terus bergantung dengan bantuan dan belas kasihan kerajaan.

Seperti mana pesan Tun Musa Hitam, sikap ini dapat dikikis dengan membuang sikap rendah diri yang keterlaluan sehingga membawa kepada sifat ketidakyakinan yang melampau (inferiority complex).

Sikap merendah diri memang nilai murni dalam masyarakat Melayu, tetapi ia tidak perlu terlalu ekstrim sehingga membawa kesan kepada psikologi masyarakat Melayu.

Peranan anak muda

Dalam catatan yang berskop kecil ini, saya tidak mampu untuk mengulas satu demi satu peranan kelompok anak muda.

Tetapi, harus diingatkan bahawa setiap tahun, universiti bumiputera iaitu UiTM melahirkan berpuluh-puluh ribu graduan.

demo_mahasiswa_PWTC-01Menurut rekod November 2013, seramai 29,297 graduan telah dihasilkan di UiTM dengan 15,743 orang bagi diploma, 338 orang untuk Diploma Lepas Ijazah, 11,943 orang bagi Sarjana Muda, 128 orang bagi professional, 1,121 orang bagi sarjana dan 24 orang bagi doktor falsafah.

Maka, daripada bepuluh-puluh ribu graduan ini, setiap sosok harus memainkan peranan dalam pembangunan masyarakat. Graduan harus balik kepada masyarakat yang selama ini bertungkus-lumus berusaha dan membayar cukai yang sama.

Anak muda harus berani mengambil risiko, dan dalam masa yang sama membanting tulang membantu masyarakat. Tidak ada jalan mudah dalam hal ini.
Kesimpulan

Sesungguhnya martabat insan bukan terletak kepada pemerintah atau mana-mana parti politik, martabat insan itu tinggi seperti yang disebut dalam surah al-Isra’ ayat 70 “sesungguhnya telah aku muliakan bani Adam.”

Karamah Insaniah atau darjat insan ditekankan sendiri oleh Allah SWT. Maka, menjadi tugas kita untuk memerdekakan masyarakat supaya tidak lagi ada kebergantungan.

Jika mengikut formula Najib, saya kini berpendirian bahawa Melayu bangsat adalah Melayu yang merdeka!

“Alangkah sempurnanya manusia! Begitu mulia pemikirannya! Kemampuannya tanpa batas! Dalam bentuk, dalam gerak, penuh perasaan dan mengkagumkan! Bergerak sebagai malaikat! Memahami sebagai dewa! Penghias alam! Kemuncak di antara makhluk!” – Willian Shakespeare
dalam babak 2 Hamlet.

*KHAIRUL NAIM RAFIDI AADALAN MAHASISWA UiTM DAN PENGASAS SEKOLAH UNDANG-UNDANG RAKYAT (SUUR)

Sekolah Undang-Undang Rakyat (SUUR) merupakan satu kolektif bebas yang bertindak bagi memberi kesedaran serta pendidikan undang-undang secara percuma kepada masyarakat akar umbi. SUUR ditubuhkan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat sivil tentang Perlembagaan serta undang-undang yang berkait rapat dengan masyarakat sekeliling.

Leave a Reply

Your email address will not be published.