Oleh: SYASYA SUFIAN
SHAH ALAM, 27 OGOS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pantas menyelesaikan isu sampah di Jalan Daya 11, Taman Daya, Kepong selepas menerima aduan dari penduduk setempat.
Penduduk membuat aduan meminta agar MPS segera menyelesaikan masalah itu dan memastikannya tidak berulang lagi.
Penolong Pegawai penerangan unit aduan MPS, Norillyana Roslan berkata MPS sudah mengarahkan kontraktor melaksanakan kerja pembersihan.
“Pada awalnya, lori sampah MPS tidak dapat masuk ke laluan itu kerana dihalang oleh khemah dibina mengakibatkan kerja pungutan sampah di kawasan itu tergendala.
“Pihak kontraktor mencari alternatif lain untuk mengelakkan sebarang kemalangan tidak diingini memandangkan di situ merupakan kawasan komersial terdapat banyak kenderaan diletakkan di tepi jalan,” katanya kepada Selangor Kini.
Sebelum ini, kawasan tersebut dicemari dengan longgokan sampah sehingga mendatangkan bau yang tidak enak kepada orang ramai.
Selain sisa sampah domestik, turut kelihatan sampah pukal seperti perabot, sofa dan almari.
Sebarang aduan sampah boleh dibuat melalui talian 03-6138 9898 @ 1800 222 677 dan e-mel aduan MPS di [email protected].
EZY