Oleh: AFEEQA AFEERA
SHAH ALAM, 23 OGOS : Meskipun hampir 58 tahun negara mencapai kemerdekaan, namun erti kebebasan belum dirasai sepenuhnya suku kaum Orang Asal.
Naib Presiden Jaringan Orang Asal Semenanjung, Yusri Ahon, berkata di sebalik kemodenan, Orang Asal terus terpinggir apabila tanah mereka diambil dan dilabel sebagai penceroboh.
Katanya, tidak seperti masyarakat lain, etnik itu dianggap tidak mempunyai keisitimewaan dan sering ditindas.
“Orang Asal apabila tanah mereka diceroboh, mereka akan pertahankan tetapi kemudiannya dituduh sebagai pembangkang, menceroboh tanah kerajaan dan merusuh.
“Tanah mereka diambil, dirampas dan mereka yang mempertahankan kemudiannya dimasukkan ke dalam penjara,” katanya pada Festival Kesenian Orang Asal Antarabangsa Selangor di Taman Botani Negara Shah Alam.
Bagaimanapun, Yusri berkata nasib Orang Asal di Selangor sama sekali berbeza apabila negeri itu ditadbir pemerintahan baru pada 2008.
Katanya sejak Kerajaan Negeri bertukar, pencerobohan tanah dan pembalakan haram tidak lagi berlaku di kawasan Orang Asal.
“Tanah kami tidak diusik, malah Kerajaan Negeri memberi kemenangan kepada Orang Asal di Selangor,” katanya.
Festival itu adalah bagi mengiktiraf penglibatan Orang Asal di Malaysia selain memperkenalkan warisan dan budaya pelbagai sukum kaum.
Majlis dirasmikan Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong.
EZY