Categories
SELANGOR

Pelajar UNISEL cipta kenderaan jimat bahan api

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 4 OGOS: Empat pelajar Universiti Selangor (UNISEL) berjaya mencipta kenderaan rekreasi darat (RGV) yang jimat menggunakan bahan api.

Berbekalkan peruntukan RM1,800, empat pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Muhammad Abdullah, Kanesrau, Syahrul Razi dan Muhammad Al-As’ad mampu mencipta projek berinovasi dan berpotensi itu sebagai projek yang menjadi syarat wajib untuk mereka bergraduasi.

Timbalan Dekan Sumber Fakulti Kejuruteraan, Ir. Mohd Shukri Yob berkata lebih membanggakan apabila hampir kesemua sistem digunakan pada RGV merupakan hasil idea daripada pelajar.

RGV1“Penggunaan hollow rectangular beam, yang diklasifikasikan sebagai ‘thin walled structure’ dalam menghasilkan rangka kenderaan tersebut adalah bertujuan untuk meminimumkan pengggunaan minyak bagi kenderaan berkenaan ketika beroperasi.

“Tanpa latarbelakang projek berkaitan automotif tetapi mereka berjaya membuktikan tiada mustahil jika ada kesungguhan tinggi dan ini adalah kelainan yang ada pada pelajar keluaran UNISEL berbanding pelajar lain,” katanya.

Menurutnya, penerapan pembelajaran memberi penekanan sama rata di antara teori dan amali di Fakulti Kejuruteraan UNISEL, membolehkan pelajar memahami teori dipelajari di bilik dan dewan kuliah dengan lebih mendalam.

“Sebagai salah satu pelan rancangan strategik fakulti kejuruteraan, kami memfokuskan beberapa bidang tertentu dan automotif adalah merupakan bidang diberi penekanan fakulti.

“Dengan kedudukan strategik, berhampiran dua syarikat automobil negara, bidang automotif mempunyai peluang cerah dimajukan di UNISEL,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Kejuruteraan, Professor Madya Dr Salina, fakulti kejuruteraan sentiasa komited dan memberi sokongan penuh untuk program seumpama itu.

Katanya, sebagai langkah awal memajukan bidang automotif, program pembudayaan automotif diwujudkan bertujuan menghasilkan kajian menjurus kepada pembanggunan produk untuk aplikasi automotif.

“Antara kajian sedang dijalankan oleh pensyarah dan staf teknikal Fakulti Kejuruteraan adalah seperti mencipta dynamoter, bending machine, dan menghasilkan enjin dua lejang.

“Kita mensasarkan dalam masa dua tahun dari sekarang kita mampu menghasilkan 100 kenderaan seumpama RGV,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.