Categories
SELANGOR

RM1.12 juta naik taraf gelanggang futsal

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 19 OGOS : Sejumlah RM1.12 juta diagihkan kepada 56 DUN di Selangor untuk membaik pulih dan menaik taraf gelanggang futsal.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata peruntukan itu ditingkatkan berbanding tahun lalu ekoran penambahan gelanggang futsal.

Katanya setakat ini Selangor memiliki 355 gelanggang futsal di seluruh negeri.

“Daripada tindakan sebelum ini, kita bina tanpa ada pelan perancangan untuk penyelenggaraan.

“Mulai tahun depan dalam pelan lima tahun, kita akan cuba menyelenggara gelanggang dan padang futsal dan gelanggang sukan lain,” katanya ketika menjawab pertanyaan Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai Panjang) di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Pada masa sama, Amirudin (PKR-Batu Caves) berkata pihaknya yakin sekurang-kurangnya 78 peratus penyelenggaraan gelanggang futsal dapat diselesaikan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun.

Katanya ia bagi memastikan gelanggang itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh generasi muda.

“Menjadi budaya apabila binaan itu dibuat tanpa penyelenggaraan hingga menyebabkan ada yang tidak berfungsi dan berada dalam keadaan usang.

“Selepas ini, saya mencadangkan supaya peruntukan baik pulih hanya diberikan berdasarkan keperluan sesebuah gelanggang itu sahaja,” katanya.

Selain peruntukan gelanggang futsal, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan antara RM600,000 hingga RM700,000 kepada setiap Pusat Khidmat DUN bagi pembangunan sukan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.