Categories
NASIONAL

Saifuddin: Anwar ada ‘skill’ lebih baik dari peguam

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 OGOS: Kehadiran Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Shah Alam sebagai pengantara atau ‘orang tengah’ berjaya mendamaikan kes saman Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terhadap PKR.

Datuk Saifuddin Nasution sebagai defendan dalam kes itu, berkata Anwar pada mulanya diminta hadir sebagai saksi namun bertindak sebagai pendamai.

“Beliau (Anwar) sepatutnya menjadi saksi jika kes ini diteruskan kerana membabitkan keputusan parti menggugurkan Khalid sebagai Menteri Besar ketika itu dan Anwar terbabit dengan pertemuan empat mata dengan Khalid.

khalidsafuldin“Namun, akhirnya berakhir sebagai ‘mediator’. Anwar mempunyai ‘skill’ itu, bahkan lebih baik daripada peguam,” katanya kepada pemberita.

Hadir sama, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah; Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Ketua Biro Hal Ehwal Guaman, Lathefa Koya dan Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran.

Saifuddin berkata, penyelesaian itu didorong oleh nasihat Anwar yang ingin menyelamatkan negara yang kini berdepan dengan kemelut politik, ekonomi dan peningkatan kos sara hidup rakyat.

“Anwar juga mengingatkan Khalid yang pernah menjadi sebahagian parti supaya menumpukan perkara lain dan proses akan berterusan lebih panjang jika tidak digugurkan.

anwar“Jadi, tiga asas itu dipersetujui dan kes saman ini digugurkan. Khalid berpesan kepada saya supaya bekerja kuat untuk mengukuhkan lagi kedudukan parti dan beliau boleh menumpukan kerjanya selepas ini.

“Saya bersyukur penyelesaian ini berlaku di penghujung Syawal,” katanya.

Anwar dibawa dari Penjara Sungai Buloh dan tiba di Mahkamah Tinggi, kira-kira jam 8.30 pagi.

Turut hadir empat anak perempuannya bersama menantu serta cucu.

Khalid diwakili Edmund Bon, manakala Wiliam Leong yang juga Ahli Parlimen Selayang dari PKR mewakili Saifuddin.

Khalid memfailkan saman terhadap Saifuddin pada 18 Ogos 2014 berhubung pengedaran dokumen laporan ‘Keputusan Menggantikan Menteri Besar Selangor’, bertarikh 4 Ogos 2014 yang didakwa memfitnah beliau.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.