Oleh: HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM, 21 OGOS: Kerajaan Negeri mempraktikkan Skim Rondaan Keselamatan Kejiranan (SEROJA) bagi menangani masalah sosial di kawasan pangsapuri kos rendah di Selangor.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata ia adalah salah satu program dijalankan selain Kelab Interaktif Komuniti (KLIK) serta Kempen Pangsapuri Kita Bersih, Ceria dan Harmoni.
“Di bawah skim Seroja, setiap kawasan pembangunan diberikan peruntukan RM10,000 setahun bagi membeli peralatan dan menganjurkan program kemasyarakatan.
“Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan khas untuk menyalurkan sumbangan kepada penduduk sukarela yang meninggal dunia atau mengalami kemalangan ketika membuat rondaan,” katanya.
Beliau berkata, bagi kes meninggal dunia ia membabitkan peruntukan sebanyak RM10,200, hilang upaya kekal (RM10,000) manakala kecederaan pula berdasarkan kos perubatan sebenar iaitu bayaran maksima sehingga RM2,000.
Katanya, kaedah pemantauan keselamatan secara rondaan sukar dilaksanakan secara konsisten berikutan senario kehidupan masa kini berdasarkan maklum balas diterima daripada Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Jawatankuasa Pengurusan (MC).
“Kerajaan Negeri sudah menambah baik dengan membenarkan JMB dan MC menggunakan cctv kerana ia adalah kaedah paling relevan pada era moden ini.
“JMB dan MC juga perlu memberi maklumat berhubung bilangan kes jenayah yang berlaku di pangsapuri mereka kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) setiap bulan.
“Ia penting bagi membuat analisis ke atas keberkesanan dan penambahbaikan program SEROJA dari semasa ke semasa dengan kerjasama polis,” katanya.
Katanya, Kerajaan Negeri menitikberatkan perkara itu demi kebaikan semua pihak berkaitan walaupun mengikut Akta Hakmilik Strata 1985 (akta 318), hak milik tanah bagi sesebuah kawasan pemajuan strata adalah milik semua pemilik dan mereka bertanggungjawab untuk menyelenggara dan mengurus bangunan pangsapuri sendiri termasuk aspek keselamatan.
“Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan khas bagi SEROJA dan KLIK iaitu RM1 juta setahun,” katanya.
-NFN-