Categories
NASIONAL

Wan Azizah: Halangan terhadap Anwar keterlaluan

KUALA LUMPUR 19 OGOS: Halangan dikenakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertemu keluarga dan peguam adalah keterlaluan.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keluarganya perlu diberi akses berjumpa Anwar di penjara, lebih-lebih lagi tahap kesihatan suaminya itu membimbangkan.

“Kami kesal, hanya di mahkamah sahaja kami dapat jumpa secara dekat, di penjara tak dapat, ini satu tekanan buat kami.

“Memandangkan kini tahap kesihatan Anwar merosot, sebelum ini sakit bahu kiri, sekarang bahu kanan, hari ini pula dia cakap sakit leher.

Anwar“Saya harap beliau diberikan rawatan sepenuhnya, apa-apa pun teruskan berdoa,” kata Wan Azizah dipetik Keadilan Daily.

Anwar dibawa ke mahkamah dengan kawalan ketat bagi mengikuti kes saman beliau terhadap Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau turut menyampaikan pesanan lisan meminta Menteri Dalam Negeri supaya tidak mengetatkan urusan pertemuan beliau dengan keluarga serta peguam.

Anwar juga merayu supaya kerajaan tidak mendera keluarganya apabila sukar bertemu dengannya, walaupun beliau ‘tiada masalah’ jika ia diperlakukan ke atas dirinya.

“Saya minta pertimbangan Datuk Seri Zahid Hamidi berkaitan urusan keluarga dan peguam. Semuanya terlalu ketat. Nak dera Anwar, faham. Saya faham. Itu saya tak ada masalah.

“Tapi janganlah dera keluarga saya. Keluarga nak jumpa susah…bagilah jumpa sekejap. Jangan sekat peguam saya. Ini buku nota pun tidak boleh.

“Saya minta Datuk Seri Zahid timbang. Timbang keluarga dan kerja urusan peguam,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mendesak Anwar diberikan rawatan segera secara konsisten ekoran tahap kesihatan bapanya yang merosot dan mengalami kesakitan berterusan di bahu kanan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.