Oleh: NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 15 SEP: Sebanyak 3,000 tong sampah bergerak bakal diedarkan seluruh Selangor bulan depan sebagai usaha meningkatkan lagi mutu pengurusan sisa pepejal di negeri itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Permerbadanan Menteri Besar, Raja Shahreen Raja Othman, berkata pihaknya kini sedang melaksanakan beberapa langkah proaktif lain ke arah tujuan sama.
“Bila kita lihat situasi sampah di Selangor, walaupun diperuntukkan jumlah yang besar namun masih belum dapat diselesaikan.
“Jadi, kita mahu penyelesaian komprehensif dilaksanakan untuk tangani masalah itu,” katanya dalam pembentangan Seminar Beyond 3R, penyelesaian mampan untuk Selangor, baru-baru ini.
Raja Shahreen berkata pihaknya bakal menubuhkan syarikat menguruskan masalah itu.
Katanya, ia membabitkan pengurusan kontraktor diletakkan dalam satu bumbung termasuk lanjutan kontrak kepada enam hingga tujuh tahun.
“Hal itu kerana, kontraktor dapat meningkatkan mutu perkhidmatan seperti pengangkutan, kemahiran, peralatan dan pengurusan.
“Ini yang kami mahu lakukan, kita juga akan wujudkan aplikasi mudah alih sebagai ‘Call Centre’ untuk sebarang laporan.
“Sebarang aduan sampah boleh dibuat juga melalui telefon,” katanya.
Beliau berkata selain pendidikan kesedaran diberikan, pihaknya juga mengkaji beberapa perlaksanaan lain termasuk teknologi baru sesuai dengan peredaran zaman.
EZY