Oleh: HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM, 6 SEP: Hampir 40,000 penonton membanjiri Kompleks Sukan Negara di sini bagi menyaksikan Festival Tarian Bon Odori dari Jepun, malam tadi .
Festival tarian negara matahari terbit itu memasuki ulangtahun ke 39 tahun ini dianjurkan bersama Kelab Jepun Kuala Lumpur, Tourism Selangor, Kedutaan Jepun di Malaysia dan beberapa persatuan Jepun di Malaysia.
Ia adalah festival tarian utama dan terbesar diadakan di Jepun dan di luar dengan persembahan pelbagai variasi tarian dan muzik tradisional Jepun.
Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali yang hadir dalam majlis malam tadi mengambil kesempatan turun ke padang bermesra dan berkongsi pengalaman bersama peserta dan hadirin.
Beliau turut serta memukul gong dalam festival berkenaan.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din, Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa dan Pengerusi penganjur, Toshihiko Todokoro.
Bon Odori adalah tarian rakyat Jepun iaitu Odori bermakna tarian manakala Bon adalah nama singkatan teks Buddha, Ullambana Sutra, di mana sebutan Urabon dipendekkan kepada Bon.
Perayaan ini disambut setiap tahun sebagai acara musim panas paling popular diadakan di setiap bandar di Jepun.
Ia selalu disertai dengan menyanyi dan menari selaras dengan irama yang meriah diiringi paluan gendang, gong dan seruling.
-NR-